Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasport diplomatik Shafee ditarik balik
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 2:37 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

PARLIMEN | Kerajaan sudah membatalkan pasport diplomatik yang diberikan kepada peguam kanan di negara ini, Tan Sri Shafee Abdullah.

Menurut Kementerian Luar pasport tersebut ditarik balik dan dibatalkan pada 19 Sept lalu.

Keputusan tersebut dinyatakan oleh Kementerian Luar dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (HARAPAN-Labis) yang inginkan penjelasan mengenai status pasport diplomatik Shafee.

Kata Pang isu itu perlu dijelaskan kerana Shafee tidak pernah dilantik sebagai diplomat.

Kata Kementerian Luar pasport diplomatik itu dikeluarkan kerajaan kepada Shafee atas kapasitinya sebagai wakil Malaysia ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Kerajaan untuk tempoh 2009 hingga 2015.

Shafee yang turut dikenali sebagai peguam bela Datuk Seri Najib Razak juga dilantik kerajaan BN menjadi Duta Besar Tugas-tugas Khas mengenai Hak Asasi Manusia antara 2016 dan 2018.

Kata Kementerian Luar pasport diplomatik itu diberikan untuk memudahkan Shafee menjalankan tugas sebagai wakil rasmi Malaysia.

"Namun begitu Kementerian Luar telah menarik balik serta membatalkan pasport diplomatik tersebut pada 19 Sept lalu," katanya.

Untuk rekod selain menjadi peguam bela bekas perdana menteri Shafee sendiri didakwa di mahkamah Kuala Lumpur pada bulan lalu.

Beliau berdepan dua tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib, selain dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. 

Shafee mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan tersebut.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan pengurusan kes berkenaan akan dibuat pada 5 Dis ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS