Mustapa: Kos projek tebatan banjir di Kelantan RM1.5 bilion
Kelantan memerlukan projek tebatan banjir di beberapa batang sungai utama dengan anggaran awalnya bernilai lebih RM1.5 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Kelantan memerlukan projek tebatan banjir di beberapa batang sungai utama dengan anggaran awalnya bernilai lebih RM1.5 bilion dalam tempoh 10 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu, anggaran awal menunjukkan kos tebatan banjir Sungai Kelantan sebanyak RM1 bilion, Sungai Golok RM500 juta, Pasir Mas RM75 juta dan Pengkalan Pasir RM4.5 juta.
"Keperluan ini adalah untuk tempoh 10 tahun akan datang dan hasil lawatan Perdana Menteri ke Kelantan semalam, beliau telah mengarahkan EPU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) meneliti semula permohonan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berhubung perkara itu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas bermesyuarat dengan ketua jabatan termasuk Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, JPS, Jabatan Kebajikan dan Jabatan Kerja Raya di Kota Bharu hari ini.
Menurut laporan Bernama, Mustapa berkata setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat kerana permohonan JPS itu perlu diteliti semula oleh EPU.
Kerosakan harta benda
Dalam mesyuarat itu, katanya, beliau mahu JPP menyelaraskan maklumat bagi mendapat gambaran jelas berhubung kerosakan harta benda kerajaan seperti jambatan, jalan dan sekolah, kerosakan rumah, kerugian ternakan dan tanaman serta keperluan lain seperti bot, selimut dan tikar.
Bahagian Keselamatan Negara (BKN) pula diminta membuat post mortem berhubung aspek tindak balas bagi menangani banjir supaya ia boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.
Keperluan lain seperti bot perlu diambil kira memandangkan pada masa ini satu atau dua bot di setiap jajahan tidak mencukupi, katanya.
"Beberapa aspek lain perlu diberi perhatian terutama dalam kes banjir yang melanda secara mengejut di kawasan pedalaman sehingga 700 penduduk di Kalai, Jeli tinggal sehelai sepinggang dengan beberapa rumah dan kenderaan dihanyutkan air," katanya.
Beliau berkata aspek respons dalam menangani banjir perlu juga dibaiki memandangkan banjir kali ini mempunyai beberapa siri apabila beberapa kejadian banjir yang datang secara pantas sehingga menyebabkan Jeli terputus hubungan dengan tempat lain.
"Apa yang penting, kita nak pastikan nyawa diselamatkan dan tak ada kes kebuluran berlaku," katanya.

