Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanah DBKL: Tengku Adnan dedah disiasat SPRM lebih 12 kali

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa beliau tiada kena-mengena dengan kelulusan atau penjualan kontroversial 97 bidang tanah di wilayah persekutuan sepanjang memegang jawatan sebagai menteri.

Tengku Adnan (BN-Putrajaya) berkata beliau telah menyerahkan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 2013.

“Masalah tanah di Wilayah Persekutuan masa saya ambil alih sebagai menteri pada 2013 saya telah pulangkan kpd Jabatan Perdana Menteri, saya tidak (ada) kena mengena dgn kelulusan tanah di Wilayah Persekutuan, pertama...

“Yang kedua, soalan saya kepada menteri, saya berterima kasih kepada menteri kerana telah buat penyelidikan dan banyak orag kata saya tidak dipanggil oleh SPRM.

“Sebenarnya untuk maklumat, lebih daripada 12 kali saya telah dipanggil dan saya telah beri keterangan apa yang saya tau,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Khalid berkata 20 daripada bidang tanah 97 yang dijual oleh DBKL adalah mencurigakan dari segi aspek proses perjanjian tanah, harga tanah dan yuran pembangunan.

Khalid dipetik oleh The Star sebagai berkata pada bulan lalu beberapa transaksi tanah dilakukan semasa pentadbiran Tengku Adnan.

Daripada penjualan 97 tanah itu, Khalid berkata dua tanah dijual oleh Yayasan Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Tengku Adnan dalam kedudukannya sebagai menteri.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Tengku Adnan bertanya soalan tambahan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berhubung berapa banyak tanah yang diberikan di atas nama DBKL.

Ketika menjawab soalan itu, Khalid berkata beliau mengakui ada beberapa tanah yang asalnya milik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ditukar nama kepada DBKL dan kemudiannya dijual DBKL untuk memberikan hasil kepada pihak berkuasa tempatan itu.

"Bagaimanapun, itu tidak menafikan bahawa hasil rundingan, kita telah mendapat RM149 juta lebihan, yang mana bukti jelas tanah itu telah dijual lebih murah daripada sepatutnya.

"Walaupun kita akui bukan hanya DBKL dan Kementerian Wilayah sahaja yang terlibat, ada Exco tanah juga terlibat yang kita tahu Putrajaya (Tengku Adnan) tidak terlibat, tetapi kita harus akui ada transaksi yang dibuat tidak ikut prosedur, tidak perlu kita buat tuduhan-tuduhan dalam Dewan, kami daripada kementerian dan DBKL akan beri sokongan penuh kepada SPRM supaya apa yang berlaku terdedah sepenuhnya supaya rakyat tahu," katanya.

Terdahulu, Khalid berkata kementeriannya masih belum menerima sebarang makluman terkini daripada SPRM berhubung siasatan 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah milik DBKL ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Pihaknya hanya menerima surat bertarikh 7 Ogos lepas daripada SPRM yang memaklumkan DBKL boleh meneruskan kebenaran dalam mengeluarkan kelulusan dan tidak perlu ditangguhkan lagi (transaksi) kerana ia tidak mengganggu siasatan yang sedang dijalankan SPRM, katanya.

"Berdasarkan jawapan SPRM itu, kementerian difahamkan bahawa siasatan terhadap penjualan tanah itu masih dijalankan, hasil siasatan SPRM di luar bidang kuasa kementerian, persoalan sekiranya terdapat unsur pecah amanah atau penyelewengan dalam transaksi ini lebih sesuai dijawab SPRM," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Kok Wai (HARAPAN-Cheras) yang meminta kementerian menyatakan secara terperinci transaksi penjualan tanah DBKL yang terdapat unsur-unsur penyelewengan dan melibatkan pecah amanah.

Khalid berkata kementerian telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Khas (Task Force) untuk meneliti keseluruhan 97 transaksi tanah DBKL itu.

Hasil siasatan dan perbincangan jawatankuasa berkenaan dengan syarikat yang terlibat dengan transaksi tanah DBKL, sebanyak 43 daripada 97 transaksi tanah diteruskan mengikut perjanjian asal kerana tiada sebarang isu berbangkit, malah mencatat nilai transaksi lebih tinggi iaitu RM1.642 bilion harga jualan berbanding RM1.433 bilion harga nilaian, katanya.

Katanya 14 transaksi tanah melibatkan keluasan 53.98 ekar (21 hektar) dibatalkan dengan persetujuan syarikat manakala 15 transaksi tanah dengan keluasan 145.79 ekar (58 hektar) dirunding semula dan memperoleh tambahan hasil kepada DBKL sebanyak RM149 juta.

"Sebanyak 20 transaksi yang telah sempurna pindah milik tanah dan siap projek tetapi didapati ada keraguan dari segi proses jualan tanah, harga nilaian tanah dan caj pembangunan diserahkan untuk siasatan lanjut SPRM.

"Lima transaksi tidak mencapai persetujuan, dengan tiga syarikat yang melibatkan tiga transaksi ingin terus berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani walaupun diperakui berat sebelah dan satu syarikat telah memfailkan tindakan di mahkamah untuk memaksa DBKL mematuhi perjanjian berat sebelah tersebut," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, Khalid berkata 70 peratus daripada 97 transaksi meragukan melibatkan tanah DBKL itu telah diurusniagakan semasa Tengku Adnan menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Khalid berkata setakat ini, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lengkap kepada umum tentang bagaimana beberapa plot tanah dijual di bawah harga pasaran kerana perkara itu sedang disiasat SPRM.


Lihat Komen
ADS