Pengerusi DAP Lim Kit Siang hari ini melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Fadzil Noor semalam yang masih tidak meyakinkan bahawa "mengundi Barisan Alternatif bukan bermakna menyokong negara Islam."

"Inilah yang menjadi titik perselisihan dalam BA pakatan pembangkang, walau ia nampaknya kecil tetapi ia perbezaan utama daripada manifesto bersama," kata Lim hari ini.

Fadzil memberitahu malaysiakini , PAS tidak dapat memberi satu jawapan menurut kehendak DAP itu kerana parti Islam itu mendapat sokongan daripada pengundi Islam tetapi DAP melihat isu itu dari perspektif pengundi bukan Islam, katanya.

Lim juga berkata pemimpin-pemimpin PAS juga memberikan kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain dalam isu ini.

Walau Fadzil memberi jaminan bahawa PAS akan mematuhi perkara-perkara yang termaktub dalam menifesto bersama BA tetapi ada pula pemimpinnya yang berpendirian tegas bahawa isu 'negara Islam' tetap menjadi objektif utama perjuangan PAS, tambah pengerusi DAP.

Lim hari ini juga menjelaskan mesyuarat jawatankuasa pusat DAP, yang dijadualkan malam ini di Kuala Lumpur, tidak akan membuat keputusan muktamad sama ada ingin menarik diri atau kekal dalam pakatan itu.

"Kami hanya akan berbincang bagi menyelesaikan isu negara Islam yang kontroversi itu dalam waktu yang paling singkat mungkin," jelasny lagi.

Mesyuarat itu julung kali diadakan selepas Kongres DAP ke-13 dua minggu lalu. Kongres telah memberikan mandat kepada 26 ahli jawatankuasa pusat itu untuk memutuskan secara muktamad dan menyelesaikan isu kontroversi negara Islam, tanpa meminta sokongan kongres atau perwakilan lagi.