Bubar GPMS - tokoh politik akan hilang jawatan
Kemelut kepimpinan dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berterusan - apa akan jadi jika pertubuhan ini dibubarkan?
Risikonya besar amat besar, bukan sahaja akan membabitkan masa depan gabungan tersebut malah nasib beberapa orang tokoh politik Umno.
Kemelut kepimpinan dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berterusan - apa akan jadi jika pertubuhan ini dibubarkan?
Risikonya besar amat besar, bukan sahaja akan membabitkan masa depan gabungan tersebut malah nasib beberapa orang tokoh politik Umno.
Menurut Pendaftar Pertubuhan, Datuk Kaswuri Keman sekurang-kurangnya seorang Menteri Besar dan dua Exco kerajaan negeri serta seorang setiausaha politik yang kini menerajui GPMS negeri terpaksa melepaskan jawatan dalam parti di peringkat bahagian dan cawangan jika pertubuhan itu dibubarkan.
Beliau berkata, pembubaran GPMS akan menyebabkan pemimpin dari semua peringkat disenarai hitam daripada memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar dengan ROS termasuk parti politik, untuk tempoh lima tahun.
Mereka yang terlibat antaranya Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau. Beliau adalah Pengerusi GPMS Perlis.
Exco kerajaan negeri Melaka, Ab. Rahaman Ab. Karim; Exco kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Zakaria Nordin dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Reezal Merican Naina Merican (foto) yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepala Batas.
Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini Kaswuri berkata, dibawah Seksyen 16 Akta Pendaftar Pertubuhan menetapkan jika terdapat dua jawatankuasa untuk satu pertubuhan, ROS atau Pendaftar Pertubuhan boleh mengemukakan surat tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dibubarkan.
``Sekiranya kami tidak berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan oleh kedua-dua jawatankuasa itu dalam tempoh 30 hari yang diberikan, GPMS akan dibubar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kaswuri berkata demikian sebagai mengulas implikasi pembubaran GPMS kalau konflik kepimpinan yang melanda berusia 57 tahun itu gagal diselesaikan.
Krisis kepimpinan GPMS memuncak apabila dua kumpulan bertelagah masing-masing mengadakan Persidangan Agung Khas bagi melantik barisan pemimpin sesi 2005/2008 baru-baru ini.
Keputusan mesyuarat menyaksikan Datuk Suhaimi Ibrahim dan Reezal Merican dinobatkan sebagai presiden GPMS bagi setiap kumpulan.
Mengulas lanjut, Kaswuri berkata, ROS telah menemui kedua-dua kumpulan dan masih menunggu laporan terperinci termasuk minit mesyuarat agung tahunan.
Beliau berkata, pihaknya akan mula campur tangan selepas meneliti laporan tersebut dan jika kedua-dua belah pihak masih enggan mencapai kata sepakat mengenai kepimpinan pertubuhan itu.
Kaswuri berkata, ROS juga akan mengeluarkan notis bagi menentukan barisan kepimpinan yang sah dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik supaya pertubuhan berusia 57 tahun itu tidak dibatalkan begitu sahaja.
Orang tengah
Dalam pada itu, bekas Timbalan Presiden GPMS, Shahril Rejab, ketika ditemui berkata, kedua-dua jawatankuasa yang bertelagah sedar mengenai kemungkinan yang boleh berlaku ke atas mereka jika pertubuhan itu dibatalkan.
Menurutnya, kedua-dua pihak telah diberi penerangan mengenai perkara itu oleh ROS dalam pertemuan secara berasingan sebelum ini.
``Jika GPMS dibatalkan, maka kumpulan yang diterajui oleh Reezal Merican Naina Merican akan menerima kesan yang lebih besar berbanding kumpulan yang diterajui Suhaimi Ibrahim,'' katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan satu Persidangan Agung Khas perlu diwujudkan dan dikendalikan oleh pihak ketiga iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM) dan ROS sendiri.
``ROS dan MBM mesti terlibat kali ini supaya kejadian perwakilan dari negeri-negeri tertentu tidak dibenarkan masuk dalam persidangan tidak akan berlaku lagi,'' katanya.
Bagaimanapun, Kaswuri berkata, pihaknya tidak akan campur tangan dalam urusan MBM yang memantau aktiviti pertubuhan termasuk persidangan baru-baru ini.
``Kami juga tidak akan mengendalikan sebarang persidangan khas bersama MBM untuk membantu menyelesaikan kemelut kepimpinan GPMS kerana peranan ROS dan MBM adalah berbeza,'' katanya.

