Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Apabila saja Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Daim Zainuddin membuat teguran terbuka supaya kerajaan berhenti mengungkit kesilapan kerajaan lalu dengan segera rakyat memikirkan bahawa teguran itu ditujukkan kepada Dr Mahathir Mohamad.

Teguran Daim tepat pada masanya dan dilihat sebagai kata-kata ikhlas dan berani daripada seorang sahabat.

Hal itu kerana jika kritikan terhadap kerajaan lama berterusan, Pakatan Harapan (PH) dilihat lebih mengutamakan permainan politik berbanding mengutamakan kerja-kerja menunaikan banyak janjkan semasa pilihan raya lalu.

Adalah wajar bagi pemimpin pembangkang atau Umno untuk bermain politik kerana mereka dalam keadaan sasau kesan hilang kuasa, tetapi PH tidak seharusnya terperangkap dengan menari mengikut rentak gendang mereka.

Kerajaan PH boleh membukitkan kesilapan kerajaan lama menerusi proses keadilan sekarang.

Tindakan ini sedang diambil oleh kerajaan bagi memenuhi harapan paling besar dan paling utama rakyat. Ia juga direstui rakyat yang mahu melihat sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

Kesedaran ini ada pada Mahatir sendiri yang dalam jawapannya kepada Tun Daim berkata: "Let the law take care of that and not us" (biarkan undang-undang menguruskannya dan bukan kita).

Harapan sedang dipenuhi

Tetapi beliau mungkin tidak sedar telah terlanjur.

Rakyat yang menyokong PH sedar bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak bertungkus-lumus membasuh dosanya di luar mahkamah, namun kerajaan tidak perlu berbuat demikian.

Di sana ada hakim dan mahkamah yang diberikan kuasa selepas rakyat memberikan kepercayaan kepada PH semasa mereka mencampak keluar Najib dari kerajaan kleptokrasi yang dikuasainya.

Kalau kerajaan mahu juga menegakan kebenaran menerusi politik, maka mereka akan dilihat menyalahgunakan kuasa dan tidak yakin kepada kuasa diberikan rakyat kepada mahkamah.

Langkah kerajaan mendedah, menangkap dan membicarakan perasuah serta perompak negara termasuk ahli politik dan pegawai tinggi selepas mendapat kuasa, dilihat rakyat sebagai sudah memenuhi harapan utama mereka yang memberikan undi kepada PH.

Rakyat yang rasional dapat befikir bahawa kerajaan tidak mungkin dapat menunaikan semua janjinya dalam masa enam bulan, tetapi mereka diyakinkan dengan keupayaan kerajaan mengemukakan belanjawan pertama yang boleh diharapkan untuk membetulkan kesilapan lalu, terutama dalam penjimatan wang negara.

Tindakan-tindakan yan lebih tegas, tanpa tolak ansur, ke atas pihak birokrasi kerajaan yang selama ini dikenali sebagai ladang rasuah terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan akan merawat perasaan rakyat yang terluka sekian lama.

Pembaharuan cara kerja wakil- wakil rakyat semasa mendekati rakyat - iaitu tanpa kemegahan pangkkat datuk dan baju batik - akan memadamkan kekecewaan rakyat yang menunggu faedah dari projek-projek mega kerajaan yang menelan belanja berjuta atau berbilion ringgit.

Kerajaan tidak seharusnya menganggap rakyat yang telah berkorban masa dan tenaga - malah ada yang sanggup mengumpul wang untuk lembali dari luar negara bagi mengundi demi menjatuhkan kerajaan Najib - akan mudah terpengaruh dengan drama Bugis yang tidak pernah kelihatan jati dirinya.


ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau dengan judul Teguran Persaudaraan Tun Daim Terhadap Tun Mahathir.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS