Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membantah cadangan memasukkan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 sebagai kandungan dalam kursus perkahwinan.

Beliau berkata ia kerana terdapat klausa-klausa dalam undang-undang itu yang mendiskriminasi wanita dan mesti diperhalusi serta diperbaiki terlebih dahulu.

"Maka tidak ada sebab untuk memasukkan Undang-Undang Keluarga Islam ini di dalam kursus perkahwinan buat masa ini kerana kita akan mendidik perkara yang tidak adil kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga," katanya dalam satu kenyataan.

Shahrizat mengulas laporan akhbar semalam yang antara lain menyebut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bercadang memasukkan undang-undang itu sebagai kandungan dalam kursus perkahwinan bagi memberi kefahaman kepada mereka yang bakal mendirikan rumah tangga.

Menurut laporan Bernama, Shahrizat juga menggesa Jakim mengambil perhatian serius untuk memperhalusi undang-undang itu yang dicadang dilaksanakan tahun depan.

"Ia supaya maksud keadilan sebenar dalam Islam dihayati serta sistem pengendalian undang-undang ini dihormati," katanya.