Kelab Senator Malaysia meminta pihak media supaya jangan lagi memainkan isu perkauman dan agama dengan terus menyiarkan berita susulan berhubung isu Allahyarham Mohammad Abdullah.

Setiausaha agungnya Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata kes itu sepatutnya telah ditutup apabila Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada Rabu lalu menolak permohonan S.Kaliammal, balu Wira Everest yang dahulu dikenali sebagai M.Moorthy, untuk mengkebumikan jenazah suaminya mengikut adat istiadat agama Hindu.

Dalam kenyataan hari ini, Syed Ali berkata kes ini amat sensitif untuk dimainkan secara berterusan oleh pihak media kerana ia membabitkan hubungan kaum dan agama.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama, oleh itu sewajarnyalah semua rakyat negara ini bertanggungjawab untuk memelihara keharmonian kaum demi keamanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat secara keseluruhannya.

"Pihak media seharusnya berperanan untuk memelihara keharmonian antara kaum dengan tidak menggembar-gemburkan atau memperbesar-besarkan isu ini yang telah dianggap selesai hasil keputusan mahkamah," katanya.

Syed Ali mengulas muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang terus memainkan isu itu dengan menyiarkan kenyataan beberapa pihak yang mempertikaikan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Mohammad yang meninggal dunia pada 20 Dis lalu, selamat dikebumikan secara Islam di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur pada petang Rabu lalu.