Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Rantau: SPR perlu tunggu 14 hari sebelum bertindak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menunggu selama 14 hari sebelum boleh mengambil tindakan berhubung keputusan mahkamah pilihan raya yang menetapkan bahawa keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi dewan undangan negeri (DUN) Rantau tidak sah.

Jelas Pengerusi SPR Azhar Harun, ini demikian kerana mahkamah memerlukan 14 hari bagi mengeluarkan surat arahan agar pilihan raya semula diadakan.

"Kita perlu tunggu surat arahan keluar sebelum mengambil tindakan. Saya anggap ia belum dikeluarkan kerana untuk memberi peluang bagi pihak yang terlibat membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah," kata Azhar ketika dihubungi Malaysiakini.

Mahkamah pilihan raya di Seremban hari ini memerintahkan kerusi DUN Rantau dikosongkan dan memutuskan kemenangan Mohamad pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai tidak sah.

Mahkamah mengambil keputusan itu selepas mendapati Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR, Dr S Streram masuk ke pusat pencalonan pada 28 April lalu.

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU ke-14 dengan kemenangan tanpa bertanding.

Mahkamah hari ini turut menyifatkan tindakan pegawai SPR sebagai "tidak beretika dan tiada integriti".

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan bahawa Mohamad akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi DUN Rantau sekiranya pilihan raya semula diadakan.

 

Lihat Komen
ADS