Wang ehsan bukan rasuah politik, kata Rosli
Pemberian RM28 juta wang ehsan kepada belia di Terengganu bukan rasuah politik sebaliknya untuk membalas jasa mereka kerana menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.
Pemberian RM28 juta wang ehsan kepada belia di Terengganu bukan rasuah politik sebaliknya untuk membalas jasa mereka kerana menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu.
Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, BN berterima kasih kepada belia yang membantu menjatuhkan kerajaan PAS dalam pilihanraya umum lalu..
"RM200 seorang bukanlah banyak, tetapi ia boleh meringankan beban harian mereka," katanya sambil menambah sehingga ini kira-kira 40,000 belia di Terengganu telah mendapat bantuan tersebut.
Bantuan wang ehsan kepada belia yang berumur di antara 18 dan 35 tahun itu diperkenalkan tahun lalu. Sebelum ini ia hanya diberikan kepada golongan miskin dan bantuan pendidikan.
Kerajaan Pusat menghentikan pembayaran royalti dan menukarnya kepada wang ehsan apabila PAS memerintah Terengganu dalam pilihanraya umum 1999. Pembayaran royalti untuk negeri itu dianggarkan RM800 juta setahun.
Katanya, buat permulaan kira-kira 4,000 belia dari setiap kawasan parlimen mendapat bantuan tersebut manakala bakinya akan diberi kemudian.
Tanda terima kasih
Beliau bagaimanapun, menolak dakwaan itu sebagai rasuah politik sebaliknya menegaskan ia sebagai "ucapan terima kasih" kepada belia yang menyokong BN.
"Kita beri kepada semua orang, tidak kira parti, ramai ahli PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menerima bantuan wang ehsan itu," katanya.
Menurutnya, program bantuan itu akan diteruskan selagi keadaan memerlukan dan mendapat peruntukan dari kerajaan pusat.
Rosli juga mendedahkan ada orang kaya yang turut mendapat wang ehsan tersebut.
"Perkara ini berlaku kerana mereka tidak jujur semasa mengisi borang permohonan iaitu menulis pendapatan isi keluarga kurang dari RM500 sebulan.
"Kita akan menyiasat mengapa perkara ini berlaku, mungkin kerana sesuatu yang tidak betul di peringkat awal iaitu membabitkan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK)," katanya.
Rosli berkata, beliau yang mahu mendapatkan bantuan kewangan tersebut diwajibkan mengikuti kursus semangat cintakan kerajaan.
Katanya, ini kerana jika mereka menyokong kerajaan lebih mudah pihak berkuasa memberikan bantuan untuk memajukan diri mereka.

