Mahkamah Pilihan Raya di Kota Kinabalu, Sabah hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Karim Bujang, calon Parti Warisan Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang mencabar kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis.​​​​​​​

Dalam penghakimannya, Hakim Supang Lian membenarkan permohonan Anifah, yang difailkan pada 24 Ogos lalu untuk membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan Karim itu, atas tujuh alasan mengikut Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya (EPR) 1954 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA)1954 yang Karim gagal patuhi.​​​​​​​

Beliau turut memerintahkan Karim membayar kos RM30,000 kepada Anifah dan kos RM5,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merupakan responden kedua dalam permohonan Anifah.​​​​​​​

Anifah diwakili peguam Ansari Abdullah, Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad dan Rizwandean Bukhari M. Borhan manakala peguam Rebecca Thong, Tiong Jia Yi, Song Wei Wan dan Chua Kuan E mewakili Karim.

Kedua-dua RO dan EC diwakili peguam Muammar Julkarnain, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Faizal Sarbi.

Anifah memenangi Parlimen Kimanis dalam PRU-14 dengan majoriti 156 undi dalam pertandingan tiga penjuru selepas Anifah memperoleh 11,942 undi berbanding Karim (Warisan) dan Jaafar Ismail (Harapan) yang masing-masing memperoleh 11,786 undi dan 1,300 undi.

- Bernama