Perwakilan DPMM undi singkirkan presiden
Perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang diadakan di Petaling Jaya hari ini mengundi untuk menyingkirkan presiden mereka, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir.
Usul undi tidak percaya terhadap Rizal dibawa oleh timbalan presiden DPMM, Syed Hussein Alhabshee, dan menyaksikan 89 daripada 92 perwakilan yang hadir mengundi menyokong usul itu.
Menurut peguam Matthew Thomas Philip, yang mewakili Syed Hussein dan 17 anggota exco DPMM lain, keputusan untuk mengadakan EGM hari ini dicapai semasa mesyuarat exconya semalam di mana majoriti mereka mengundi.
"Keputusan EGM hari ini, majoriti (perwakilan DPMM) mengundi tidak percaya terhadap presiden mereka sekarang, dan mengundi supaya kedudukannya dilucutkan.
"Mereka juga mengundi supaya timbalan presiden memangku jawatan presiden," katanya kepada pemberita selepas EGM ditangguhkan petang ini.
Mesyuarat exco diadakan semalam berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang memutuskan bahawa DPMM boleh membangkitkan perkara lain dalam mesyuarat exco, termasuk urusan yang meragui oleh Rizal.

