Pemimpin politik dan bekas pemimpin belia memberi pendapat yang berbeza mengenai pembabitan orang politik dalam persatuan belia di negara ini.

Bagaimanapun, mereka bimbang pembabitan orang politik yang keterlaluan boleh meninggalkan kesan buruk kepada pertubuhan belia termasuk menjadi medan mencari pengaruh untuk kepentingan peribadi.

Bekas Ketua Pengarah Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Syed Abu Bakar Abdullah mendakwa, pertubuhan belia termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menjadi tempat paling sesuai untuk mencari pengaruh dalam parti dan kerajaan.

Sebab itulah, katanya, mereka berusaha mendapat jawatan tinggi dalam pertubuhan belia walaupun tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran memimpinnya.

"Ini yang berlaku dalam GPMS kerana gabungan itu mempunyai nilai yang tinggi dalam masyarakat belia," katanya.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku dalam GPMS sekarang seperti `gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.'

Beliau berkata, adalah tidak salah pemimpin politik memimpin pertubuhan belia tetapi perlu tahu selok-belok mengenai belia supaya dapat membawa kemajuan kepada pertubuhan itu.

Katanya, jika orang yang tidak ada pengalaman dan pengetahuan diberi jawatan, ia umpama 'beruk mendapat bunga', mereka akan merosakkan pertubuhan yang dipimpinnya.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub pula berkata, pertubuhan belia di negara ini termasuk GPMS, rosak kerana tengkuk mereka telah diikat dengan tali politik.

Perbezaan visi

Katanya, keadaan ini menyebabkan pemimpin muda belia tidak dapat menyerlahkan karisma mereka kerana terikat dengan orang politik.

"Orang tua tidak sesuai memimpin persatuan belia kerana visi mereka tidak sama dengan orang muda dan ini menyebabkan belia enggan menjadi ahli persatuan belia.

Ahli Parlimen Johor Bharu, Datuk Shahrir Samad berkata, beliau tidak menyertai pertubuhan belia kerana mahu memberikan sumbangan kepada semua pihak.

"Semasa memegang jawatan setiausaha politik saya ditawar untuk menerajui beberapa pertubuhan belia tetapi saya tidak mahu kerana saya mahu memberi bantuan kepada semua persatuan belia," katanya.

Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim pula berkata, tidak salah orang politik memimpin pertubuhan belia asalkan mereka mempunyai kemahiran untuk berbuat demkian.

Katanya, orang politik bukan setakat memimpin pertubuhan belia tetapi turut memimpin persatuan agama dan pendidikan.

"Ia hanya menjadi masalah apabila berlaku sesuatu isu seperti yang dialami oleh GPMS," katanya sambil menambah sumbangan orang politik kepada persatuan penting kerana kedudukan mereka yang dekat dengan kerajaan..