Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perkasa sokong guna Akta Hasutan dalam isu kuil

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menyokong penuh keputusan kerajaan menggunakan dua akta yang kini dalam moratorium (penggantungan sementara) berkenaan kes Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Timbalan Presiden Perkasa Sirajuddin Salleh berkata undang-undang tersebut tidak perlu digantung kerana ia penting untuk menjaga keharmonian penduduk pelbagai kaum.

Katanya, rusuhan yang berlaku di kuil itu pada awal minggu lalu adalah "bunga api besar" dalam soal hubungan kaum.

"Rusuhan ini 'bunga api besar' yang membahayakan negara.

"Sepatutnya sudah lama Akta Hasutan digunakan (dalam isu ini). Dalam keadaan sekarang banyak pihak yang perlu diambil tindakan bawah akta itu," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata dua undang-undang - Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) - yang dikenakan moratorium, boleh digunakan dalam isu kuil itu.

Ia selepas dipersetujui kabinet Jumaat lalu, berdasarkan perkembangan semasa seputar isu tersebut.

Polis telah membuka empat kertas siasatan bawah Akta Hasutan berhubung insiden yang berlaku di kuil itu, termasuk terhadap penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo.

Langkah itu dibantah beberapa pihak antaranya Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusi (Hakam) dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy.

Mereka mengatakan kerajaan boleh menggunakan undang-undang lain dalam kes itu, dan penggunaan Akta Hasutan dan Seksyen 223 Akta CMA bercanggah dengan komitmen PH untuk memansuhkan undang-udang yang dilihat menindas.

Bagi Sirajuddin pula, kedua-duanya perlu dikekalkan kerana ia mampu mendisiplinkan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia.

"Kita sendiri sedia maklum soal perkauman ditanam dengan kuat selama ini," katanya lagi.

'Siasat biar adil'

Sementara itu, Sirajuddin menggesa polis berlaku adil dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didakwa membuat hasutan.

Ia susulan kenyataan Muhyiddin bahawa polis akan menyiasat Presiden Perkasa Ibrahim Ali berhubung ucapannya semalam.

Beliau membangkitkan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang didakwa menyebut orang Melayu sebagai pendatang sebelum ini, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan dalam isu kuil.

Untuk rekod, Kulasegaran telah memohon maaf atas perkara itu namun mengatakan kenyataannya telah disalah tafsir.

"Itu ganggu perkauman atau tidak? Kenapa tidak disiasat?"

Muhyiddin juga berkata terpulang kepada polis sama ada untuk menyiasat Waytha dan Exco Kerajaan Selangor V Ganabatirau.

Lihat Komen
ADS