Malaysiakini BERITA

Ibrahim ancam amuk, tapi ikut undang-undang

M Fakhrull Halim dan Haspaizi Zain  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) memberi amaran keras terhadap pihak yang menurut mereka memperkotak-katikkan maruah orang Melayu.

Amaran itu dinyatakan presidennya Ibrahim Ali dalam Himpunan Jihad Perkasa di Kuala Lumpur hari ini yang disertai kira-kira 200 hadirin.

"Zaman retorik, bersyarah sudah berakhir. Bagi Perkasa, kesabaran Melayu sudah berakhir. Hari ini hanya mesej pusingan pertama.

"Selepas ini kami tidak akan berdiam diri lagi. Kalau perlu Perkasa akan mengamuk di seluruh Malaysia," katanya ketika berucap di himpunan itu.

Himpunan itu diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) serta mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy agar meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, ketika bercakap dengan pemberita kemudiannya, Ibrahim kelihatan sedikit lunak semasa menjelaskan maksud "amuk" tersebut.

Kata bekas anggota parlimen Pasir Mas itu, ungkapan "amuk" yang diucapkannnya tidak boleh difahami dalam maksud yang sempit.

"Perkasa akan tetap mengambil tindakan yang mematuhi lunas undang-undang di negara ini," katanya.

Amuk ialah perbuatan unik yang dikaitkan dengan etnik Melayu.

Ia merujuk kepada tindakan seseorang bertindak di luar rasional dan biasanya menyebabkan pertumpahan darah.

Semasa himpunan bersama Umno dan PAS di Pasir Salak Nov lalu bekas timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengungkapkan perkataan "amuk".