Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM tiba di Bangkok untuk terima ijazah doktor kehormat

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di Bangkok tengah hari ini bagi menerima ijazah doktor kehormat dalam bidang kepimpinan masyarakat, perniagaan dan politik daripada Universiti Rangsit (RSU) esok.

Pesawat khas kerajaan yang membawa Dr Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand Don Mueang pada 3.30 petang.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Saifuddin Abdullah serta Menteri Pendidikan Thailand Teerakiat Jareonsettasin dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel selain pegawai kanan kedua-dua negara.

Malam ini perdana menteri dirai dalam jamuan malam oleh Presiden RSU Dr Arthit Qurairat.

Dr Mahathir dijadualkan ke kampus utama RSU di daerah Mueang Pathum Thani, kira-kira 30 kilometer dari Bangkok, pagi esok bagi menghadiri upacara penganugerahan itu.

Ini merupakan anugerah kehormat kedua Dr Mahathir daripada institusi Thailand untuk tahun ini.

Pada 7 November lalu beliau menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembinaan Bangsa (Sektor Awam) daripada Institut Bina Bangsa Thailand.

Pemimpin berusia 93 tahun itu merupakan individu ketiga menerima penghormatan daripada institusi pengajian tinggi terbaik Thailand berkenaan selepas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang menerima anugerah serupa pada 2016 dan Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 2009 (ketika itu baginda merupakan Putera Mahkota).

- Bernama

Lihat Komen
ADS