Msia tidak terbabit dalam pergolakan selatan Thai, kata penganalisis
Pihak berkuasa Malaysia tidak terbabit dengan pergolakan di wilayah selatan Thailand yang didominasi penduduk Islam, sebaliknya kumpulan pergerakan pemisah mendapat sokongan daripada individu yang berasasl dari wilayah terbabit, kata seorang penganalisis serantau.
Pihak berkuasa Malaysia tidak terbabit dengan pergolakan di wilayah selatan Thailand yang didominasi penduduk Islam, sebaliknya kumpulan pergerakan pemisah mendapat sokongan daripada individu yang berasasl dari wilayah terbabit, kata seorang penganalisis serantau.
Francesca Lawe-Davies berkata, pihak berkuasa Malaysia sentiasa berhati-hati dalam menangani masalah di wilayah selatan negara itu kerana tidak mahu dilihat sebagai mencampuri urusan dalaman negara jirannya dan menjejaskan hubungan dua hala.
Davies, penganalisis International Crisis Group yang merangkumi Thailand dan Indonesia bagi kumpulan pemikir Brussels yang berpejabat di Jakarta, berkata pengarah operasi pemberontak beroperasi dari selatan dan bukan di Malaysia seperti yang didakwa beberapa pegawai Thai sebelum ini.
"Mereka berbincang dengan beberapa orang di Malaysi dan negara lain, termasuk Eropah. Namun masih samar-samar siapa yang memberi arahan... tahap operasi tidak jelas, mungkin mereka beroperasi dalam kumpulan kecil secara senyap," katanya pada forum "Keganasan dan Thailand: Perspektif Serantau" anjuran Kelab Koresponden Asing Thailand, di Bangkok malam tadi.
Anggota panel lain terdiri daripada Zachary Abuza, seorang profesor sains politik di Simmons College, Boston yang pakar mengenai Jemaah Islamiyah (JI), serta Don Pathan, editor akhbar The Nation.
Sejak keganasan meningkat di tiga wilayah selatan pada Januari 2004, lebih 1,200 orang terbunuh dalam pergolakan yang dikatakan didalangi puak pemisah Islam, jenayah terancang dan pengedaran dadah.
Pada tahun 70-an, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) ditubuhkan oleh kaum etnik Melayu di wilayah paling selatan negeri itu Yala, Pattani dan Narathiwat -- bagi menuntut kemerdekaan daripada Thailand, tetapi kini kumpulan berbeza melancarkan perang gerila.
Davies berkata, beberapa orang di Kelantan dan Terengganu, kebanyakannya berasa dari Pattani di selatan Thai, memberikan sokongan moral, logistik dan kewangan.
Sokongan kewangan
"Pada 70-an, sebuah parti politik juga memberi sokongan moral, politik dan kewangan pada satu ketika, namun ia sudah berakhir," katanya.
Davies berkata, walaupun Malaysia dan Thailand terbabit dalam pertikaian membabitkan 131 rakyat negara itu yang melarikan diri ke Kelantan, Ogos lalu, keadaan itu semakin baik sekarang selepas Malaysia menyerahkan seorang daripada pelarian itu yang dipercayai anggota militan.
Beliau berkata, kedua-dua negara kini bekerjasama untuk mengatasi masalah dan mencadangkan Malaysia membantu tahap oeprasi menerusi perkongsian maklumat risikan.
Davies berkata, walaupun orang Islam terbabit dalam pergolakan dan wujud elemen agama, pemberontakan itu diilhamkan oleh nasionalis bagi memenuhi impian sedekad lalu untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Bangkok.
"Mereka mahu menuntuk kerajaan Pattani daripada berjihad, walaupun mereka lebih alim daripada kumpulan 1970-an dan 80-an. Mereka marah kepada Kerajaan Thai kerana mendiskriminasi, memaksa asimilasi budaya dan bersikap ganas terhadap orang Melayu di sana," katanya.
Abuza berkata, walaupun semakin ramai orang yang disyaki pemberontak ditahan oleh kerajaan Thai, pergolakan dijangka berpanjangan kerana militan akan bersembunyi beberapa ketika sebelum menyerang semula.
"Pemberontak akan kembali ke pondok-pondok yang menjadi inkubator mereka sejak sedekad lalu. Tiada seorang pun dalam JI atau kumpulan militan Islam lain yakin mereka dapat mencapai matlamat itu dalam generasi mereka," katanya.
Don, penulis tetap mengenai situasi kompleks di selatan, berkata, kerajaan Thai gagal mengasimilasikan penduduk tempatan yang mahukan budaya, bahasa dan sejarah mereka diperakui.
Kekecewaan
"Kekecewaan mereka adalah terhadap negara, bukan terhadap Cina atau Buddha yang tinggal di sini. Semasa saya tanya mereka kenapa pilih Cina dan bukan Melayu sebagai Gabenor Yala dan Pattani, mereka berkata orang-orang ini menjalankan kerja yang baik," katanya.
Menurutnya, sikap Perdana Menteri Thaksin Shinawatra bahawa "Bangkok Tahu Yang Terbaik", memburukkan lagi keadaan.
Lebih-lebih lagi katanya beribu-ribu pelajar negara itu yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, terutama di Asia Barat, menganggur dan tidak dihiraukan pihak berkuasa negeri dan memaksa mereka mencari pekerjaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Beliau yang ditanya sama ada pemberontakan itu tidak akan berlaku jika Thaksin tidak dipilih, Davies berkata ia akan berlaku memandangkan militan telah merancangnya sebelum Taksin memimpin negara itu.
"Namun cara buruk Thaksin menangai situasi itu merumitkan lagi keadaan. Malah lebih sukar menangai masalah itu kerana tidak ada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab mencetuskan pemberontakan terbabit," katanya.
Abuza berkata, permusuhan antara agensi terutama antara polis dan tentera juga memburukkan keadaan selain rantaian arahan yang tidak jelas mengenai siapa yang bertanggungjawab di selatan.
Kepada soalan sama ada Amerika Syarikat patut melakukan lebih lagi untuk membantu Thai menangani masalah di selatan, Abuza berkata ia tidak produktif dan boleh mencetuskan tindak balas.
Mengenai sama ada masih ada harapan untuk kedamaian pulih di selatan, Don berkata jumlah besar rakyat yang keluar mengundi pada pilihanraya umum 2005 merupakan petunjuk baik penduduk selatan masih yakin dengan sistem itu.
"Mereka menolak kerajaan (Thai Rak Thai Party) tetapi bukan sistem...jadi masih ada harapan," katanya.

