Tidak ada rakyat Malaysia yang terkorban atau cedera dalam kejadian rempuhan ketika jemaah melakukan ibadat melontar jamrah di Mina, demikian disahkan oleh Ketua rombongan haji Malaysia Datuk Dr Azmi Ahmad hari ini.

Beliau berkata semasa kejadian, semua jemaah haji Malaysia berada di maktab kediaman mereka.

Sebelum ini, 22 jemaah haji Malaysia tidak dapat dikesan kerana mereka tidak melaporkan diri kepada pengurus maktab kediaman apabila pulang ke maktab selepas melontar jamrah.

"Apabila pengurus maktab mengetuk pintu bilik mereka selepas kejadian itu, mereka tidak memberi sebarang respons dan semasa membuat pemeriksaan di Mina, kami juga tidak menjumpai mereka.

"Tapi, pagi tadi, kami buat pemeriksaan sekali lagi di maktab berkenaan dan mereka memberi respons apabila kami mengetuk pintu serta memberitahu kami bahawa mereka terlalu letih dan tertidur serta tidak mendengar apa-apa semasa kami mengetuk pintu bilik mereka sebelum itu," kata Dr Azmi kepada wakil Bernama di Mekah.

Beliau berkata apabila 22 jemaah haji berkenaan tidak dapat dikesan, Ketua Operasi Perubatan Tabung Haji, Dr Shuhaimi Ismail, dihantar ke bilik mayat tiga hospital -- Hospital Mina, Hospital Muissin dan Hospital King Faisal -- untuk mengenal pasti mayat jemaah haji yang menjadi mangsa dalam kejadian itu.

Katanya langkah itu diambil kerana terdapat laporan mengatakan lapan mayat berwajah dan berkulit seperti orang Asia telah ditemui.

Bagaimanapun, mayat itu kemudian dikenal pasti sebagai tiga dari Indonesia, tiga dari China, satu dari Pakistan dan satu dari Bangladesh.

Dr Azmi berkata kesemua 26,000 jemaah haji Malaysia telah menunaikan ibadat melontar jamrah pagi tadi, hari terakhir untuk menunaikan ibadat itu.

Sebahagian daripada mereka telah mula meninggalkan Mina menuju ke Masjidil Haram, 5 km dari sini, manakala selebihnya akan berbuat demikian selepas menunaikan solat Jumaat.

Maklumat terkini

Sementara itu bilik gerakan Tabung Haji di Kelana Jaya menyediakan dua talian khas bagi memudahkan waris jemaah haji Malaysia mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian rempuhan ketika ibadat melontar di Mina semalam.

Nombor talian itu ialah 03-78741033 dan 03-78744169.

Jurucakap bilik gerakan itu berkata mereka menerima banyak panggilan daripada waris jemaah haji sejak tengah malam tadi untuk mengetahui mengenai anggota keluarga masing-masing.

Beliau berkata setakat ini laporan pasukan perubatan menyatakan tiada jemaah haji Malaysia terlibat dalam kejadian itu.

Menurut laporan Bernama, kejadian yang berlaku antara 1 tengah hari dan 2 petang waktu tempatan (pukul 6 dan 7 petang waktu Malaysia) dilaporkan telah mengorbankan 345 orang dan dan menyebabkan beratus-ratus lagi cedera.

Minggu lepas, empat rakyat Malaysia adalah antara 76 jemaah yang terbunuh apabila sebuah bangunan asrama jemaah runtuh di Mekah.