Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Belanjawan Johor 2019 dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan bertajuk “Menerajui Perubahan, Menggalas Harapan, Bangsa Johor Bestari” mempamerkan satu hala tuju yang sama sekali bertentangan dengan temanya.

Selepas mengikut secara rapat perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor awal bulan ini dan memperhalusi jawapan-jawapan daripada wakil kerajaan, hanya satu yang dapat saya simpulkan. Mereka sangat keliru dan buntu dengan apa yang perlu dilakukan untuk Johor.

Fokus kerajaan negeri nyata tersasar. Inisiatif yang diperkenalkan pula sangat bersifat kosmetik.

Misalnya, pertama, biarpun ekonomi Johor disasarkan berkembang di antara 5.0 dan 5.5 peratus bagi 2019, tidak pula dibentangkan kaedah strategik dan spesifik bagaimanakah sasaran itu akan dicapai.

Tiada lonjakan dan rangsangan baru diperkenal untuk memacu ekonomi Johor.

Lebih teruk, pembangunan Johor mencatatkan penurunan peruntukan sebanyak 14.3 peratus berbanding yang diperuntukkan dalam Bajet 2018 kerajaan BN sebelum ini.

Dalam jangkaan ekonomi yang malap dan perlahan pada tahun depan, kerajaan negeri sepatutnya meningkatkan pelaburan untuk projek-projek pembangunan agar dapat memberikan kesan berganda yang merangsang kerancakan ekonomi secara keseluruhan.

Lebih tinggi dari Selangor, PP

Malangnya, aspek itu bukan sahaja diabaikan oleh kerajaan negeri, malah projek berskala besar sebelum ini juga tidak diberikan suntikan penambahbaikan yang signifikan.

Yang ada, hanya penukaran JSIC (Pusat Pelaburan Negeri Johor) kepada Johor Invest.

Kedua, kerajaan negeri tidak menawarkan sebarang inisiatif konkrit atau pakej menarik pelaburan untuk meneruskan prestasi cemerlang Johor sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia.

Untuk rekod, pada 2016, Johor mencatatkan jumlah pelaburan langsung diluluskan terbesar dalam sektor pembuatan mencakupi 45.2 peratus daripada keseluruhan negara.

Jumlah itu adalah tiga kali ganda daripada jumlah di Selangor, yang menduduki tempat kedua dan enam kali lebih tinggi berbanding di Pulau Pinang.

Rekod yang cemerlang juga dicatatkan pada tahun lalu.

Jadi, ukuran kegagalan atau kejayaan terbesar kepada kerajaan Negeri pastinya apabila Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengeluarkan laporannya kelak.

Kita tunggulah laporan suku pertama dan kedua Mida nanti dan lihat sama ada Johor akan kekal sebagai destinasi pelaburan langsung luar (FDI) tertinggi di Malaysia atau tidak.

Ketiga, Pelan Hala Tuju Strategik Desa Johor - merupakan jelmaan semula Pelan Rejuvenasi Desa - turut diperkenalkan. Asasnya baik. Fokusnya juga kena.

Ada dikurang nilai, dihapus

Malangnya, titik fokus itu tidak memperincikan bagaimanakah kehidupan masyarakat luar bandar akan diperkasakan. Daya saing orang muda luar bandar, kelangsungan ekonomi mereka, jaringan infrastruktur luar bandar, kesemua ini terlalu samar dan tidak jelas.

Malah, tiada sebarang inisiatif dan peruntukan spesifik untuk memartabatkan tahap pendidikan dalam kalangan pelajar luar bandar bagi merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar.

Tiada juga inisiatif khusus untuk memperluaskan perkhidmatan Johor Wi-Fi terutamanya di kawasan luar bandar.

Peliknya, pada masa sama kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Digital Johor. Adakah ini bermakna, kerajaan negeri akan membiarkan masyarakat luar bandar di Johor ketinggalan dalam merebut peluang untuk menyertai dan terlibat dalam ekonomi digital?

Lebih menyedihkan, bantuan serta imbuhan kepada para petani, pekebun kecil dan nelayan luar bandar, bukan sahaja tidak bertambah dan berkembang. Sebaliknya, ada yang dihapuskan dan dikurangkan nilainya.

Nasib peneroka Felda yang dihimpit kejatuhan harga dan hasil pula sehingga kini tidak terbela atau dipedulikan.

Ramai sekali wakil BN membangkitkan isu ini berulang-ulang kali. Antaranya Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penawar, Panti, Pasir Raja, Buluh Kasap, Kahang, Layang-layang dan Tenggaroh.

Malangnya, perkara itu tidak dibahas dan dijawab pun secara konstruktif atau serius oleh Adun PH, termasuklah oleh menteri besar sendiri.

Ulang benda sudah ada

Jika keadaan ini berterusan, masa depan Johor yang sarat dengan potensi pasti menjadi perlahan akibat pentadbirnya yang terlalu berpolitik, hilang fokus dan menyimpan dendam.

Malah, sehingga kini, isu berkaitan pertembungan Malaysia dengan Singapura tidak sedikit pun diulas dan diuruskan secara meyakinkan oleh menteri besar.

Beliau harus ingat, Johor mempunyai kepentingan tersendiri. Kita tidak boleh hanya membiarkan kerajaan Persekutuan saja menjadi jurucakap tanpa kerajaan negeri memberikan pandangan serta saranan yang sesuai dengan cara Johor.

Kesimpulannya, cara dan bentuk titik-titik sentuhan Belanjawan Johor 2019 disusun tidak pun bersifat menerajui perubahan, sebaliknya hanya mengulang perkara sedia ada dalam belanjawan 2016 hingga 2018, serta Manifesto BN Johor 2018.

Ia tidak pun menggalas harapan, tetapi memusnah impian dan jangkaan, kerana tatkala kita semua mengharapkan lebih banyak bantuan, program prorakyat dan insentif yang menarik, kerajaan negeri sebaliknya memotong dan membatalkan lebih banyak bantuan.

Ia juga tidak membuka ruang kepada pembentukan Bangsa Johor Lestari kerana terlalu memfokuskan kepada perkara bersifat kosmetik, bukannya pembentukan masyarakat berdasarkan pemikiran dan sikap yang unggul.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno dan pernah menjadi menteri besar Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS