Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Ambil iktibar, jatuhnya Umno kerana abai anak muda

AGM BERSATU | Pemimpin tertinggi Bersatu diingatkan untuk mengambil iktibar daripada kesilapan Umno yang mengabaikan suara golongan muda sehingga menyebabkan kejatuhannya pada PRU lalu.

Peringatan itu disampaikan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam ucapan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya, hari ini.

Katanya, Bersatu perlu meletakkan sayap pemuda di tempat yang betul.

“Saya sentiasa mengingatkan pimpinan tertinggi supaya sentiasa meletakkan Armada dalam posisi yang betul dan tepat untuk Bersatu. Ada banyak potensi dalam Armada.

“Ingatlah. Umno jatuh kerana sikap pemimpin tertinggi mereka yang mengabaikan kumpulan anak muda.

“Hari ini, barulah mereka kononnya ingin “mengangkat” anak muda. Tetapi, ia sudah terlambat untuk Umno,” katanya yang juga menteri belia dan sukan.

Peringatan awal itu dibuat agar Bersatu tidak menyesal di kemudian hari, kata Syed Saddiq lagi.

“Jangan sesekali kata Armada tidak ingatkan pimpinan tertinggi parti. Saat Bersatu menyesal, ia sudah terlambat. Percayalah, sudah terlambat."

Untuk rekod, 65 peratus keahlian Bersatu adalah di kalangan golongan muda.

Terdahulu, terdapat kebimbangan kemungkinan penyertaan bekas pemimpin dan wakil rakyat Umno dalam parti itu akan meminggirkan golongan muda di dalamnya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mengingatkan mana-mana pemimpin yang tidak senang dengan apa yang disuarakan pemuda agar menggunakan saluran yang betul.

“Jika tidak berpuas hati dengan Ketua Pemuda Pusat atau Bahagian, guna cara yang betul. Jangan main belakang-belakang. Ikut saluran yang tepat,” katanya.

Lihat Komen
ADS