Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Polis belum terima laporan bedah siasat Adib

Polis belum menerima keputusan bedah siasat anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu inkues terhadap punca kematian Allahyarham.

"Saya tidak mahu komen tentang inkues. Polis pun belum terima laporan penuh (bedah siasat)," katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, hari ini.

Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata beliau dimaklumkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas bahawa inkues akan diadakan untuk mengenal pasti punca kematian Adib.

Menurut Fuzi, siasatan polis berhubung perkara itu masih diteruskan dan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Bagaimanapun beliau berkata polis telah menghantar kertas siasata kepada Pejabat Peguam Negara dan menunggu arahan selanjutnya.

"Siasatan masih berjalan tetapi kita telah hantar kertas siasatan Isnin lalu.

"Kita cuba yang terbaik untuk selesaikan siasatan secepat mungkin, agar mereka yang bertanggungjawab (terhadap kematian Adib) boleh dibawa ke muka pengadilan.

"Siasatan kekal bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya lagi.

Fuzi berkata polis tidak akan menahan semula empat suspek yang ditahan sebelum ini, kerana didakwa menyerang Adib ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu.

Beliau juga memaklumkan jumlah tangkapan berhubung rusuhan itu kekal 108, dan 26 daripaanya sudah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Katanya, beberapa lagi pendakwaan dijangka akan dibuat minggu depan tetapi ia bergantung kepada timbalan pendakwa raya.

"Polis berharap orang ramai terus membantu kita untuk mengenalpasti lebih 50 lagi individu dalam gambar yang dikeluarkan (yang disyaki terlibat dalam rusuhan).

Daripada 66 gambar (individu terlibat), hanya sepuluh yang tampil atau berjaya dikenal pasti," katanya lagi.

Fuzi juga menggesa orang ramai kekal bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu kerana ia hanya memburukkan keadaan.

Lihat Komen
ADS