Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

AGM BERSATU | Bersatu tidak akan membuka pintunya kepada bekas wakil rakyat Umno yang hanya mahu mencetuskan pergeseran antara parti itu dengan komponen Pakatan Harapan (PH) lain, kata timbalan presidennya Mukhriz Mahathir.

Ketika sesi penggulungan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 hari ini, beliau memberi amaran kepada mereka yang berhasrat menyertai Bersatu agar tidak berbuat demikian.

"Jangan fikir seolah-olah jika Bersatu nak kekal berkuasa dengan hanya 16 kerusi Parlimen, kami perlukan sehingga 30, 40 kerusi lagi untuk lawan parti lain (dalam PH).

"(Bekas wakil rakyat Umno) Nak suruh kami lawan dengan kawan dalam PH? Tidak sekali-kali," katanya kepada kira-kira 1,500 perwakilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beliau berkata kejayaan Bersatu dalam PRU ke-14 adalah atas sokongan parti komponen PH dan tidak mengalu-alukan wakil rakyat daripada Umno yang mahu merosakkannya.

"Kita menang atas dasar PH. PH adalah satu kesepakatan yang kuat dan tak akan bergaduh dengan PKR, Amanah dan DAP...Dengan Warisan pun kita bersama terajui kerajaan persekutuan dan negeri," katanya lagi.

Mukhriz sebelum ini dilantik untuk mengetuai jawatankuasa dalaman bagi menapis permohonan daripada bekas pemimpin dan wakil rakyat Umno untuk menyertai Bersatu.

Menteri Besar Kedah itu juga mengingatkan wakil rakyat daripada Umno yang mahu menyertai Bersatu agar memohon maaf terlebih dulu kepada rakyat Malaysia dan juga parti itu atas kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

"Kadang-kadang saya nampak macam tak ada rasa bersalah langsung. Menang (di kerusi sendiri) tetapi kalah secara keseluruhan, lepas itu senang-senang nak masuk PH. Tak bolehlah macam tu," katanya lagi.

Daripada 16 wakil rakyat yang keluar Umno selepas PRU ke-14, tiga orang sudah diterima dalam parti itu - Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mustapa Mohamed (Jeli).

Bakinya kini menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong perdana menteri.

Tindakan mereka itu mencetuskan kebimbangan di kalangan pemerhati, anggota parti dan juga parti dalam PH.

Antara kritikan yang disuarakan adalah ia akan menjadikan Bersatu sebagai Umno 2.0, selain khabar angin tentang usaha mengukuhkan kekuatannya berbanding parti komponen PH yang lain.

Lihat Komen
ADS