'Rakyat tak bodoh nak benarkan politik naungan kembali'
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata rakyat Malaysia tidak bodoh dan golongan muda terutamanya akan menentang usaha mengembalikan amalan politik naungan.
Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman yang menyifatkan pihak yang membantah penggunaan sumber kerajaan oleh parti untuk mengekalkan kuasa sebagai "bodoh".
Ia sebaik selepas Syed Saddiq mengecam tindakan perwakilan meminta kerajaan memberikan kontrak dan jawatan kepada anggota parti ketika sesi penggulungan perhimpunan agung tahunan Bersatu Ahad lalu.
"Rakyat Malaysia tidak bodoh dan dalam isu ini, saya menentangnya dan sangat pasti pimpinan tertinggi juga menentangnya," katanya kepada pemberita selepas program Street Dakwah anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Kuala Lumpur malam ini.
Syed Saddiq menyebut kritikan yang diterima Rashid, terutama daripada sayap pemuda parti itu serta parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain.
f"Sebaik saja kenyataan itu dibuat semalam, pimpinan tertinggi Pemuda Bersatu mengeluarkan kenyataan menjelaskan pendirian kami.
"Hampir semua ketua pemuda parti PH juga bersama kami," katanya yang juga menteri belia dan sukan.
Katanya lagi, beliau yakin golongan muda akan memainkan peranan penting dalam menghalang kembalinya amalan tidak betul yang pernah diamalkan sebelum ini.
"Orang muda adalah masa depan dan saya yakin perubahan minda akan terjadi jika kita melakukannya dengan betul," katanya lagi.
Diminta mengulas gesaan pelbagai pihak agar Rashid meletakkan jawatan yang dipegang dalam kerajaan dan parti, beliau berkata isu itu perlu dibawa kepada pimpinan tertinggi parti.
"Tetapi saya telah menyuarakan bantahan terhadap perkara itu," katanya lagi.
Program PKPIM itu dianjurkan sempena sambutan tahun baru dengan fokus terhadap membanteras seks bebas.
Syed Saddiq yang menyertai program itu menyifatkan tema tersebut sesuai dilakukan ketika sambutan tahun baru.

