Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tangguh turun harga petrol helah k’jaan kaut untung – AJK PAS
Diterbitkan:  Jan 1, 2019 3:01 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

Pemimpin PAS menyifatkan langkah kerajaan menangguhkan pengapungan harga minyak adalah helah untuk mengaut keuntungan daripada rakyat ketika harga bahan bakar itu merosot di pasaran dunia.

Anggota jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) dan Automatic Pricing Mechanism (APM), sejak awal Disember lalu RON95 sepatutnya dijual pada harga RM1.90 seliter.

"Ini bermaksud, dengan mengekalkan bahan api ini pada harga RM2.20 seliter, kerajaan mengaut untung sebanyak 30 sen bagi setiap liter daripada pengguna.

"Menjelang tahun baru, sekali lagi pengguna diminta terus menanggung "subsidi" untuk kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam kerajaan mengumumkan harga petrol RON 97 dan RON 95 masing-masing kekal pada harga RM2.50 sen dan RM2.20 sen seliter sehingga Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan yang berkata, kementeriannya akan mendapatkan pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri ke atas penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum.

"Kementerian Kewangan akan mendapatkan pertimbangan dan persetujuan jemaah menteri ke atas penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum, yang akan diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini," kata Lim.

Beban kos sara hidup

Dalam pada itu Khairuddin turut mengingatkan kerajaan supaya lebih teliti dan cermat dalam membuat penentuan mekanisme penetapan harga runcit petrol dan diesel supaya pengguna dan pengusaha stesen minyak tidak berhadapan dengan masalah yang tidak sepatutnya.

Katanya, APM hanya menguntungkan pengguna pada masa harga minyak mentah global menurun.

"Oleh itu, pendekatan menentukan harga runcit petrol berdasarkan sistem pengapungan harga bersekali dengan penetapan had harga maksimum seperti yang diumumkan oleh Kementerian kewangan petang semalam adalah memang sepatutnya.

"Namun, saya berpandangan had harga maksimum ini patut dan boleh direndahkan lagi berbanding RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 bagi diesel.

"Had harga ini penting supaya beban kos sara hidup rakyat tidak bertambah dan bagi mengelakkan berlakunya peningkatan mendadak indeks harga pengguna (IHP).

"Kerajaan juga mesti mengehadkan kadar kenaikan harga runcit bahan api ini (dicadangkan maksimum 15 sen seliter) supaya pengguna tidak mengalami kesan perubahan perbelanjaan yang mendadak," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS