Aduan sah boleh jadi hasutan, kata Ramkarpal pada PM
Komitmen Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap kedaulatan undang-undang mendapat perhatian Anggota Parlimen Bukit Gelugor DAP Ramkarpal Singh.
Ramkarpal berkata cukup gembira dengan iltizam tersebut tetapi tidak bersetuju dengan kenyataan perdana menteri bahawa aduan yang sah terhadap salah laku tidak akan dianggap sebagai menghasut.
Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan hal ini kerana Akta Hasutan 1948 tidak mempertimbangkan niat atau sama ada pernyataan itu benar atau palsu apabila memutuskan jenayah menghasut.
"Saya, bagaimanapun, perlu menghormati pandangan perdana menteri dalam artikel beliau yang mengatakan bahawa aduan yang sah tidak akan dianggap menghasut dan dianggap sebagai kebebasan bersuara dan rakyat boleh bercakap secara terbuka mengenai isu-isu ini.
"Undang-undang hasutan sangat pelik (kerana) kenyataan dan kritikan dengan kecenderungan menghasut juga akan dianggap sebagai menghasut tanpa mengira niat pengkritik.
"Dalam erti kata lain, pengkritik secara jujur merasakan bahawa dia dibenarkan mengkritik atau bercakap dengan bebas mengenai isu yang dia rasa dibenarkan tetapi kritikan itu masih dianggap menghasut jika ia membawa kecenderungan menghasut yang tertentu," kata Ramkarpal dalam satu kenyataan hari ini.
Aduan tak langgar undang-undang
Beliau merujuk komentar Mahathir hari ini yang mana perdana menteri mengatakan kedaulatan undang-undang mesti terpakai kepada semua daripada raja, perdana menteri, menteri, penjawat awam dan rakyat biasa.
Perdana menteri mengeluh mengenai pelanggaran undang-undang yang dibuat secara terang-terangan dalam "keyakinan yang salah bahawa kekebalan telah diberikan".
"Hasilnya boleh diramalkan dan rakyat merana akibat ketidakadilan. Perniagaan tidak boleh dijalankan dengan baik. Harta benda dirampas. Tindakan luar biasa dan salah telah dilakukan.
"Justeru, aduan awam terhadap mereka yang mencabuli kedaulatan undang-undang adalah sah dan tidak melanggar mana-mana perundangan, malah tidak boleh dianggap sebagai hasutan.

"Mereka akan dianggap sebagai kebebasan bersuara. Rakyat boleh membuat laporan terhadap perkara ini atau secara terang-terangan bercakap mengenainya," katanya.
Namun demikian, menurut Ramparkal selagi Akta Hasutan 1948 masih berkuatkuasa, akan sentiasa ada rasa takut untuk bersuara secara bebas, terutamanya mengenai isu-isu sensitif di mana seseorang tidak berniat untuk melakukan hasutan.
"Tanpa ragu-ragu, kebebasan bersuara, atau mana-mana kebebasan yang dijamin oleh perlembagaan, untuk perkara itu (hasutan), tidak pernah mutlak.
"Bagaimanapun, semoga ruang yang luas (latitude) diberikan kepada rakyat untuk menyatakan pandangan dan kritikan mereka terhadap perkara-perkara yang meski pun bersifat sensitif sebagai kritikan yang membina, suatu bahagian penting pada setiap negara demokrasi.
"Saya selalu berpandangan Akta Hasutan perlu dimansuhkan," katanya.
Ramkarpal berkata Kanun Keseksaan boleh dipinda untuk melindungi Raja-raja Melayu sementara Akta Kebencian Kaum dan Agama boleh diperkenalkan untuk menangani kebencian kaum.
"Dalam keadaan ini, diharapkan kerajaan serius mempertimbangkan pemansuhan Akta Hasutan selaras dengan janjinya untuk menghapuskan undang-undang yang menindas dalam manifesto pilihan raya.
"Dengan berbuat demikian, warganegara biasa tidak lagi takut menyuarakan fikirannya dengan jujur, yang saya percaya digalakkan perdana menteri dalam tulisannya," katanya.

