Sebuah pondok bayaran parkir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Taman Nirwana, Jalan Klebang Besar di sini terbakar pada awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Afzanizar Ahmad berkata polis menerima laporan kejadian tersebut daripada pemilik syarikat swasta yang mengendalikan tempat parkir kenderaan berkenaan pada 2.20 pagi tadi.

“Pihak bomba masih lagi melakukan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Zaidi Kadiron berkata, sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Bomba menerima panggilan pada 1.02 pagi dan tiba di lokasi 10 minit kemudian. Pondok bayaran parkir berkeluasan 36 kaki persegi yang terbakar 80 peratus itu berjaya dipadamkan pada 1.28 pagi ini,” katanya.

Untuk rekod, bermula awal tahun ini MBMB telah memperkenalkan sistem letak kenderaan berbayar kepada syarikat swasta di 13 lokasi sekitar bandar raya Melaka dengan mengenakan bayaran parkir antara RM1 dan RM2.

Rentetan itu, sebuah video rakaman kebakaran pondok bayaran parkir berkenaan tular di laman sosial sehingga menimbulkan pelbagai dakwaan daripada netizen.

- Bernama