Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak tanggapan gabungan Pakatan Harapan (PH) sebagai lemah.

"Ramai yang berpendapat bahawa gabungan ini lemah, ia (PH) tak lemah, kita semua kuat.

"Dalam kabinet pun kita boleh bekerjasama. Dalam Pakatan Harapan kita pun boleh bincang tanpa terlalu emosi (without too much emotion), tak ada lah perkataan kasar-kasar, tak ada," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Terdahulu, Mahathir mempengerusikan Majlis Presiden PH.

Perdana menteri juga berkata pemimpin PH bersetuju dalam banyak isu yang dibangkitkan.

"Jadi saya fikir gabungan ini berfungsi. Ramai yang kata ia lemah, tapi ia tak lemah. Kami bersetuju dalam banyak isu yang kami bincangkan bersama," jelasnya.

Janji pilihan raya

Pengkritik berulang kali menuduh gabungan PH sebagai lemah, terutama disebabkan ketidakupayaannya memenuhi beberapa janji dalam manifesto pilihan raya.

Terdahulu, Mahathir berkata ketika PH merangka janji tersebut ia tidak menjangka akan memenangi pilihan raya umum lalu dan menyatakan manifesto sebagai suatu beban besar.

Gabungan itu juga menyaksikan beberapa kegawatan dalaman sejak berkuasa dalam tempoh lapan bulan yang lalu.

Misalnya, terdapat bantahan terhadap Bersatu yang dipimpin Mahathir kerana menerima bekas pemimpin Umno ke dalam parti itu.

PKR, yang mempunyai bilangan kerusi parlimen yang paling banyak, juga dilihat terlibat pertikaian dalaman antara beberapa kem di dalam parti.

Bulan lalu, veteran DAP Lim Kit Siang menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PH jika matlamat Malaysia Baru diabaikan. Jawapan ini diberikan beliau sebagai menjawab kritikan yang menyamakan DAP dengan MCA.

[Baca berita penuh]