Pengetua kecewa 'pelajar baik' terlibat kes pecah rumah
Seorang pengetua sekolah menengah di Bota, di Perak tidak menyangka dua pelajarnya yang berperwatakan baik dan sering menolong guru, ditahan polis setelah terlibat dalam kegiatan curi motosikal dan pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata pengetua itu memaklumkan kekecewaannya kepada polis semasa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah selepas mendapat maklumat mengenai kedua-dua pelajarnya berumur 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul enam petang semalam, di sekitar Bota.
Mohamad Zainal berkata kedua-dua pelajar lelaki tersebut ditahan setelah terlibat dengan kes curi sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di kawasan Masjid Iskandar Shah, Bota Kiri, pada 15 Disember lepas.
“Mereka juga terlibat dengan satu kes pecah rumah dan mencuri seutas jam tangan bernilai RM700 pada Rabu lepas di Bandar Universiti, Seri Iskandar.
“Jam yang hilang telah berjaya dirampas semula daripada salah seorang suspek manakala motosikal yang dicuri juga turut berjaya dirampas setelah disembunyikan di belakang hutan berhampiran rumah salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi di Parit hari ini.
Mohamad Zainal berkata ibu bapa kedua-dua suspek yang hadir di IPD turut kecewa selepas mendapati anak mereka terlibat dalam aktiviti jenayah tersebut.
Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan.
- Bernama

