Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar sudah lebih dari bersedia jadi PM - penganalisis

Peralihan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim perlu ditunaikan bagi mengelakkan perbalahan tercetus dalam gabungan Pakatan Harapan, kata penganalisis politik.

Meskipun menurut Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata tiada tempoh waktu akhir rasmi yang pernah dipersetujui, namun umum ketahui bahawa jawatan tersebut akan disandang Anwar dalam tempoh dua tahun selepas Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Prof Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), sekiranya janji itu tidak ditunaikan ia bukan sahaja akan menimbulkan masalah kepada penyokong presiden PKR itu tetapi juga mereka akan bertindak balas.

"Tempoh (rasmi) memang tidak ada tapi dalam lingkungan yang disebut oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini adalah tempoh dua tahun. Seluruh dunia sudah tahu dan memang tidak ada tarikh yang pasti sekarang.

"Tapi Mahathir pun sedar bahawa tempoh usianya dalam dua tahun 95 tahun. Jadi keterbatasan itu beliau juga sedar bahawa orang menunggu itu sentiasa dalam keadaan menanti dan Anwar juga mahu duduk di kerusi itu.

"Selepas sudah kempunan pada tahun 1998, janji mesti ditunaikan. Jadi jangan salahkan Anwar, kita perlu faham kedudukan dan perasaan penyokong beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 1998 Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat pernah memecat Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri.

Anwar faham luar, dalam Mahathir

Jeniri menambah, jawatan yang pernah disandang Anwar sebelum ini sebagai TPM dan menteri kewangan membuatkan beliau lebih daripada bersedia untuk memegang jawatan mentadbir negara itu.

"Saya fikir dia (Anwar) sudah faham watak luar dan dalam Mahathir. Beliau telah belajar daripada peristiwa 1998. Jadi yang dituntut sekarang bukan sahaja kesabaran daripada pihak Anwar tetapi juga pada penyokong partinya, iaitu penyokong PKR sendiri.

"Untuk pemimpin Bersatu peringkat akar umbi untuk mendesak Mahathir terus kekal sehingga tamat tempoh menjelang PRU akan datang, saya fikir tidak kena.

"Pendapat saya, penyokong Dr Mahathir harus faham akan situasi itu dan tidak membuat gesaan yang bukan-bukan," katanya.

Mahathir PM sampai PRU15

Semalam, kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis mengadakan sidang media bagi menyatakan bantahan terhadap cadangan untuk mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Cadangan itu dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu lalu oleh perwakilan Bersatu.

Bagaimanapun, Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata ahli parlimen Port Dickson itu perlu membuat persediaan dalam meraih keyakinan rakyat terhadap dirinya dalam memegang jawatan perdana menteri.

Ini kerana menurut Mohd Azizuddin, masih terdapat pihak yang tidak bersetuju Anwar mengambil alih jawatan perdana menteri dari Mahathir, lebih-lebih lagi mereka yang dahulunya ahli Umno dan kini menganggotai Bersatu.

"Perasaan sebegitu mungkin ada lagi di kalangan penyokong-penyokong Bersatu. Jadi Anwar kena tarik keyakinan orang untuk sokong dia.

"Saya rasa itu dah jelas adanya perundingan peralihan jawatan itu, cuma tak semua orang setuju Anwar jadi perdana menteri. Tapi saya rasa Anwar pun perlu main peranan untuk beri keyakinan sebab kemungkinan orang bimbang kerana mereka tidak yakin dengan dia (Anwar).

"Jadi dia kena beri keyakinan supaya dia boleh mengambil alih Mahathir dengan keadaan harmoni, stabil dan PH akan jadi lebih kukuh selepas ini," katanya.

Takut kedudukan terancam 

Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berkata isu peralihan kuasa ini timbul kerana terdapat pihak yang bimbang kedudukan, pangkat dan jawatan yang dipegang mereka selama ini terancam apabila Anwar menjadi perdana menteri yang sudah semestinya mempunyai orang-orang kepercayannya tersendiri dan teruji kesetiaan.

"Ini berlaku apabila berlakunya sikap tak sabar, hasutan orang sekelilingnya, kurang sikap walak kepada pemimpin mereka sendiri.

"Konsep berpegang kepada janji, menghormati yang lebih tua dan berjasa mulai terhakis akibat perubahan landskap politik negara yang melihat banyak peluang politik boleh diterokai dan disertai.

"Tambahan pula ketidakstabilan berlaku apabila pemilihan PKR diadakan dan nampaknya belum lagi pulih sepenuhnya," katanya tanpa menyebut nama pihak tertentu," katanya.

Namun, beliau berpendapat isu ini sewajarnya dibincang secara tertutup bersama pimpinan tertinggi PH.

Sementara itu, Mohd Azizuddin berkata tidak timbul isu Bersatu bimbang sekiranya Anwar diangkat sebagai perdana menteri sehingga menyebabkan parti itu akan kurang dominan dalam PH.

"Siapa parti dominan itu tak wujud dalam PH kerana dia lebih sama rata kepada semua parti. Kalau dalam Barisan Nasional ya (terdapat dominan parti), iaitu Umno, dominan. Jadi tak sepatutnya timbul isu siapa dominan, siapa tak," katanya. 

Lihat Komen
ADS