Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Otai Reformis menentang habis-habisan usul dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung minggu lalu yang mahukan Dr Mahathir Mohamad diberikan sepenggal menjadi perdana menteri.

Sebaliknya, kata kumpulan penggerak reformasi 1998 itu, Mahathir harus menyerahkan jawatan kepada Anwar dalam tempoh dua tahun seperti dijanjikan.

“Kita tentang habis-habisan usul Bersatu itu, yang mahukan Dr Mahathir kekal sepenggal (selama) lima tahun.

“Itu lama sangat” kata Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail.

Katanya, walaupun Mahathir berulang kali mengesahkan akan menyerahkan jawatan seperti dijanjikan, beliau tidak menolak kemungkinan pelbagai perkara boleh berlaku.

“Politik ini seni pelbagai kemungkinan,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

“Walaupun Dr Mahathir kata akan serahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim dalam masa yang ditetapkan, tetapi besar kemungkinan pelbagai perkara akan berlaku dalam masa peralihan tu sendiri,” jelas Razak.

Usul perwakilan Bersatu

Usul yang ditimbulkan perwakilan Bersatu pada perhimpunan agung tahunannya baru-baru ini mengundang cakap-cakap berkenaan kerjasama antara parti komponen PH.

Bagaimanapun, semalam, Mahathir menjelaskan akan menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas dua tahun atau ‘lama sedikit’, sementara Anwar juga meminta Mahathir diberikan ruang untuk memimpin kerajaan dalam tempoh yang ‘telah dipersetujui’ bersama.

Sementara itu, Pengerusi Otai Reformis, Dr Idris Ahmad (gambar) membayangkan ada pihak yang mahu menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri kelapan dengan sengaja menimbulkan prasangka.

“Sangat jelas. Ada pihak yang mahu menghalang Anwar (menjadi perdana menteri), dan kemungkinan dalam PKR sendiri ada yang mahukan kedudukan.

“[...] Kenapa tiba-tiba ada komen seperti ini di sana-sini? [...] Kita tak mahu timbulkan prasangka (create doubt),” katanya.

Idris yang juga Adun Ijok dan pemimpin PKR Selangor merujuk kepada kenyataan menteri luar yang juga setiausaha sekretariat PH, Saifuddin Abdullah kelmarin.

Saifuddin berkata tiada janji melibatkan tempoh penyerahan kuasa jawatan perdana menteri kepada Anwar.

Selain itu, Idris turut membidas tindakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang Sabtu lalu mengkritik secara terbuka pelantikan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sedangkan ia merupakan bidang kuasa Anwar selaku presiden parti.

Katanya, tindakan Azmin tidak berdisiplin dan mendedahkan ‘karakter sebenarnya’ kepada khalayak.

“Lihatlah, siapa yang salam-salam, siapa cium-cium, siapa yang buat kenyataan?

“Anda boleh lihat dan nilai sendiri personaliti seseorang yang boleh berubah arah dalam masa beberapa bulan sahaja,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS