Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Sebuah artikel lama terbitan bulan Oktober 2018 yang memetik beberapa laporan Nikkei telah ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memberikan gambaran bahawa keadaan ekonomi Malaysia semasa adalah buruk dengan menyiarkan beberapa statistik lama yang kurang memberangsangkan.

Artikel berusia lebih daripada dua bulan tersebut merujuk kepada angka perdagangan bagi bulan Ogos 2018 dengan menyatakan bahawa lebihan dagangan bagi bulan tersebut yang berjumlah RM1.6 bilion adalah yang terendah dalam tempoh 45 bulan sebelumnya.

Sebenarnya, persepsi yang diberikan oleh angka bulanan adalah tidak tepat kerana ia tidak mampu menggambarkan prestasi ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun.

Ini terutamanya apabila hanya dua bulan kemudian selepas bulan Ogos, lebihan dagangan bagi bulan Oktober 2018 telah meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah Malaysia, iaitu RM16.3 Bilion. Eksport pula telah naik 17.7 peratus kepada RM96.4 Bilion pada bulan yang sama dan ini juga merupakan paras tertinggi yang pernah dicatatkan.

Peningkatan drastik ini menunjukkan bahawa data bulanan mudah berubah dan sifatnya yang tidak stabil menjadikannya kurang baik untuk dijadikan satu-satunya rujukan berkenaan keadaan ekonomi negara untuk seluruh tahun.

Oleh itu, kita janganlah mudah beralih arah hanya kerana perubahan jangka masa pendek. Terutama sekali apabila gambaran keadaan ekonomi yang menyeluruh hanya boleh diberikan secara komprehensif dengan trend yang berjangka masa lebih panjang.

Pelaburan langsung asing meningkat

Walaupun perangkaan seperti Indeks Pengurus Pembelian (Purchasing Managers’ Index atau PMI) pembuatan terbitan Nikkei yang jatuh ke paras 46.8 mata dalam bulan Disember mungkin relevan untuk bulan tersebut, ia tidak boleh digunakan bagi menggambarkan keadaan ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun.

Malah, angka PMI mungkin akan naik dalam bulan-bulan mendatang seperti mana prestasi perdagangan bagi bulan Oktober 2018 telah meningkat dengan mendadak.

Tambahan lagi, perangkaan dalam jangka masa yang lebih panjang seperti pelaburan langsung asing (foreign direct investment atau FDI) yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama tahun 2018 telah meningkat 250 peratus kepada RM49 bilion.

Pelaburan ini akan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia dalam masa terdekat. Dari segi prestasi, pasaran saham Malaysia pula adalah yang kedua terbaik dalam Asia Pasifik bagi tahun 2018.

Pada masa yang sama, kadar inflasi bulanan secara purata telah meningkat hanya 1.0 peratus tahun-ke-tahun untuk 11 bulan yang pertama dalam 2018 dan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pemansuhan GST dan pengenalan semula SST.

Kadar inflasi dijangka terkawal dalam masa terdekat disebabkan oleh harga bahan bakar yang rendah. Mata wang ringgit juga telah meningkat ke RM4.14 untuk AS$1 hari ini, daripada RM4.20 semasa bulan November 2018 semasa ringgit berada pada paras terlemah berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat.

Akhir sekali, Malaysia masih mempunyai lebihan akaun semasa yang tinggi pada RM22.7 bilion, atau 2.5 peratus daripada KDNK setakat September 2018. 

Ini salah satu faktor mengapa agensi penarafan antarabangsa telah memutuskan untuk mengekalkan penarafan kredit kerajaan dan juga mendorong Bloomberg untuk menobatkan Malaysia sebagai negara terbaik dalam senarai 20 pasaran baru muncul (emerging markets) untuk tujuan pelaburan.

Imbangan akaun semasa negara dijangka akan terus kekal positif untuk tahun ini. Saya ingin tegaskan bahawa sistem perbankan Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi manakala sistem monetari negara berada dalam keadaan yang sihat dan stabil.

Kerajaan akan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.


LIM GUAN ENG merupakan Menteri Kewangan dan ahli parlimen Bagan.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya, serta tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS