Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin memerli pelantikan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerajui badan berkaitan kerajaan yang dibuat Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar, Rina Harun.

Khairy dalam kenyataan di Twitternya, mengingatkan janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto untuk memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah dari kalangan golongan profesional, dan bukan berdasarkan kaitan politik.

"Malaysia Baharu... Mungkir janji sejak 10 mei 2018," katanya.

Terdahulu, Rina mengumumkan pelantikan dua anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Sukiman Sarmani dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi yang masing-masing menerajui Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara) dan Mara Corporation Sdn Bhd.


Berita berkaitan: 2 MT Bersatu, peguam dilantik terajui badan berkaitan k'jaan


Haniff Khatri yang merupakan peguam yang pernah mewakili Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pula dilantik sebagai Lembaga Kemajuan Wilayah.

Dalam kenyataannya hari ini, Rina berkata cadangan berkenaan diajukan oleh pihaknya dan telah mendapat persetujuan perdana menteri.