Malaysia akan menyatakan pendirian tegas mengenai larangan menggunakan ruang udara di Pasir Gudang, Johor bagi pesawat yang ingin mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Menteri luar Saifuddin Abdullah, berkata perkara itu akan ditegaskan delegasi diketuainya dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan, Selasa ini.

“Kita konsisten dengan pendirian kita dan akan mengulangi cadangan pesawat ingin mendarat di Seletar tidak boleh menggunakan ruang udara Malaysia.

“Diharapkan pertemuan pada 8 Januari ini akan mencapai satu persetujuan isu yang perlu diselesaikan,” katanya kepada media selepas melepaskan peserta Ultron Kuantan New Year Ride & Run 2019 hari ini, lapor Berita Harian (BH).

Jumaat lalu, BH dalam laporannya mendedahkan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS).

Lapangan terbang itu yang digunakan untuk pesawat kargo dan pesawat persendirian terletak di tepi Selat Johor menghadap Pelabuhan Johor, Johor Bahru.

Tinjauan juga mendapati sebuah pesawat besar dan pesawat ringan memasuki ruang udara negara berhampiran Pelabuhan Johor bagi membuat pusingan sebelum mendarat di Lapang Terbang Seletar.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia sebelum ini telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Dis 2018, memaklumkan pihak penerbangan mengenai pewujudan Kawasan Larangan kekal untuk tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa mulai 2 Jan 2019.

Susulan itu, Malaysia akan mengemukakan isu pencerobohan ruang udaranya untuk dibincangkan dalam pertemuan wakil dua negara itu, Selasa depan.