Most Read
Most Commented
mk-logo
News
'Bersabarlah Abang Mat'
Published:  Jan 6, 2019 1:45 PM
Updated: 5:45 AM

"Bersabarlah Abang Mat dengan ujian. Moga Allah bantu," itulah kata-kata semangat dan doa dititipkan oleh Anggota Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali yang ditujukan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Ia susulan kejadian yang menimpa Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu apabila anak lelakinya ditahan polis selepas didapati positif ganja, semalam.

Khairuddin yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, media tidak wajar menjadi hakim dan perlu mengelakkan prasangka.

"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Doakan kebaikan untuk semua," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, anak pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu, bersama 101 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang, awal pagi semalam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Difahamkan, anak Mohamad bersama rakannya berusia 33 tahun sedang berhibur ketika operasi dijalankan sebelum ujian saringan air kencing awal dilakukan terhadap lelaki itu kemudian mendapati positif ganja.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 6 petang semalam.

Mohamad sebelum ini mengesahkan penahanan anaknya itu melalui kenyataan bertulis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.

Sementara itu Khairuddin berkata, anak permata dan penyejuk hati setiap insan.

"Ya Allah jadikan mereka permata dan penyejuk hati kami," doanya. 

ADS