Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberi kebenaran kepada Naib Presiden MIC, C Sivarraajh mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak membenarkan beliau bertanding pada pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Nordin Hassan di kamarnya setelah mendengar permohonan berkenaan.

Menurut peguam Sivarraajh, Vasanthi Arumugam, mahkamah menetapkan Khamis ini bagi mendengar merit permohonan.

Sebelum ini Pengerusi SPR, Azhar Harun berkata Naib presiden MIC itu tidak layak bertanding susulan keputusan hakim Mahkamah Pilihan Raya, Azizah Nawawi yang mendapati terdapat unsur rasuah dalam pilihan raya di kerusi parlimen berkenaan 9 Mei lalu.

Azhar juga mengatakan Sivarraajh tidak boleh mendaftar sebagai pengundi dan mengundi dalam mana-mana pilihan raya serta dipilih sebagai calon dalam tempoh lima tahun.

Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy membantah permohonan itu atas alasan bahawa belum ada keputusan dibuat dan ia bersifat pramatang.

"Dia masih boleh memfailkan kertas pencalonannya dan keputusan dibuat (pegawai pilihan raya)," katanya.

Bagaimanapun, hakim Nordin menolak bantahan awal dan mengatakan terdapat kes yang boleh dipertikaikan untuk permohonan kebenaran.

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 12 Jan, Sabtu ini.

Sivarraajh memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 31 Dis lalu.

[Baca berita penuh]