Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kim Jong Un dipercayai 35 tahun minggu ini
Diterbitkan:  Jan 7, 2019 11:59 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

GLOBAL | Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dipercayai berusia 35 tahun minggu ini, namun tidak seperti ulang tahun kelahiran bapa dan datuknya, yang dianggap sebagai cuti paling penting di negara itu, tiada sambutan rasmi dijangka diadakan untuk pemimpin muda tersebut, lapor agensi berita Yonhap.

Kim dipercayai telah dilahirkan pada 8 Jan 1984, meskipun kerajaan Korea Utara tidak pernah mengesahkan tarikh itu secara rasmi.

Pada malam menjelang ulang tahun kelahirannya, media rasmi Korea Utara termasuk Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), sekadar mendiamkan diri berhubung perkara itu.

Kalendar 2019 Korea Utara telah menandakan tarikh itu sebagai hari bekerja biasa, berbeza dengan sambutan ulang tahun kelahiran mendiang datuk dan bapa Kim, Kim Il Sung dan Kim Jong Il, yang dijadikan cuti umum.

Korea Utara tidak pernah meraikan ulang tahun kelahiran pemimpin itu secara umum sejak beliau mengambil alih jawatan pada akhir 2011, dan pihak media negara tersebut juga jarang menyebut mengenainya.

Ulang tahun kelahiran penyandang jawatan pemimpin Korea Utara ketika ini disambut secara diam-diam mungkin disebabkan oleh usianya yang masih muda.

Bapa Kim, mendiang Kim Jong Il, telah menjadikan tarikh ulang tahun kelahirannya sebagai cuti umum pada 1982 ketika beliau berusia 40 tahun, iaitu dua tahun selepas dilantik menggantikan bapanya yang juga pengasas negara itu, Kim Il Sung.

Dalam direktori kerajaan Seoul berkaitan tokoh utama Korea Utara, tarikh 8 Jan 1984 telah dinyatakan sebagai ulang tahun kelahiran Kim, namun ia juga menyebut terdapat spekulasi bahawa beliau mungkin dilahirkan pada 1982 atau 1983.

- Bernama

Lihat Komen
ADS