Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohd Amar: Tak perlu buat spekulasi isu Agong letak jawatan

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tindakan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata keputusan itu merupakan hak peribadi baginda.

"Tak perlu persoal. Saya nak jelaskan saya sendiri pun tak tahu.

"Bila tak tahu jangan buat spekulasi. Apa faedahnya kepada kita? Benda tiada faedah lebih baik duduk diam dan jangan buang masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Ahli Majlis Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) di Kota Bharu, hari ini.

Semalam Sultan Muhammad V mengejutkan ramai pihak apabila meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, selepas ditabalkan tidak sampai dua tahun.

Ia merupakan kali pertama dalam sejarah Malaysia Agong meletakkan jawatan.

Mohd Amar juga menyifatkan perkara itu sebagai mengejutkan kerana baginya ia berlaku secara tiba-tiba.

"Jumaat lepas pun tuanku datang sembahyang, tak ada apa-apa tanda (mahu letak jawatan)," katanya.

Ketika ditanya berhubung isu perkahwinan Sultan Muhammad V, Mohd Amar berkata pihaknya tiada maklumat rasmi berkenaan perkara itu.

"Tuanku pun tak sebut (jadi) tak elok buat sebarang spekulasi yang kita pun tak tahu.

"Tak ada guna cari sebab, terima sajalah (berita itu kalau benar), nak kahwin tak salah.

"Kalau nak lantik raja perempuan itu hak sultan tapi (perlu) mengikut peraturan yang ada," jelasnya. 

ADS