PM harap Agong baru dinamakan segera, perlu mengadap bagi urusan tertentu
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berharap agar pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baru dapat diputuskan secepat mungkin.
Dr Mahathir berkata ia perlu disegerakan kerana beliau sendiri perlu mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi urusan tertentu tetapi tidak menghuraikannya.
"Kerajaan akur dengan keputusan Sultan Muhammad V yang telah meletak jawatan.
"Ia adalah mengikut perlembagaan," katanya yang dipetik oleh Bernama selepas majlis perasmian pejabat Bersatu Teregganu di Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi Bersatu Terengganu Razali Idris.
Peletakan jawatan Sultan Muhammad V diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz semalam.
Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.
Dr Mahathir berkata, kebiasaannya Majlis Raja-Raja mempunyai peraturan dan kaedah tertentu sama ada melibatkan penggiliran mahupun undi yang telah termaktub dalam perundangan.

Ditanya mengenai pengganti Sultan Muhammad V, Dr Mahathir berkata beliau sama sekali tidak akan mencampuri urusan pengganti baginda dan ia adalah keputusan muktamad Majlis Raja-Raja.
"Kita tidak akan mencampuri urusan itu. Pengganti Yang di-Pertuan Agong akan dipilih oleh Majlis Raja-Raja.
"Saya tidak tahu bagaimana cara pemilihan dan mengikut adat mereka ada susunan mereka sendiri," katanya.
Tetap utamakan masalah Melayu
Mengulas mengenai prestasi menteri-menteri kabinet pada masa sekarang, Dr Mahathir berkata secara keseluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi mereka.
"Kita perlu ingat bahawa mereka adalah ahli kabinet baru dan sebelum ini mereka tidak pernah jadi menteri. Mereka terbawa-bawa dalam pembangkang dulu dan sukar untuk membawa diri," katanya.
Beliau berkata sewajarnya menteri kabinet yang ada itu diberi peluang dan tidak ada keperluan untuk menukar mereka dengan menteri yang baru.

Sementara itu, Dr Mahathir mahu semua pihak memahami kenapa beliau sering mengutamakan masalah yang dihadapi bangsa Melayu kerana beliau mahu bangsa itu bangkit dan menjadi maju seperti bangsa lain.
"Parti Bersatu akan sentiasa mengutamakan permasalahan bangsa Melayu yang kini masih merupakan bangsa yang miskin.
"Perubahan perlu dibuat supaya Melayu juga dapat nikmat kekayaan negara kita. Kita bukan akhirnya ketinggalan jauh di belakang," katanya.
Ketika berucap merasmikan pejabat Bersatu baru itu, Dr Mahathir berkata parti itu boleh menggantikan Umno untuk membela bangsa Melayu dan berharap sokongan itu diterima semua.
Dr Mahathir juga mahukan Bersatu tidak membuat kesilapan seperti kerajaan terdahulu yang akhirnya boleh meruntuhkan kerajaan.
"Jangan buat seperti yang dilakukan dahulu dan jika perkara itu berlaku, kerajaan yang ada tidak akan boleh bertahan lama," katanya.

