Bagi memastikan penurunan harga minyak dapat diterjemahkan kepada penurunan harga barang, kerajaan meminta kerjasama semua pihak terutama peniaga demi merealisasikan hasrat itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution berkata, penurunan harga bahan api kebiasaannya akan diikuti dengan penurunan kadar inflasi.

“Pola (pattern) itu sangat jelas. Tapi, sama ada penurunan indeks inflasi betul-betul berlaku (berikutan penurunan harga bahan api), kami harap mendapat sokongan peniaga dan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Putrajaya hari ini.

Katanya lagi, secara dasarnya, penurunan harga minyak akan menyebabkan kos pengeluaran menurun, sekali gus wajar diikuti penurunan harga beberapa barangan pengguna.

Menurutnya, selain tanggungjawab kementerian mengawal dasar dan menguatkuasakan undang-undang, penurunan kos sara hidup bergantung kepada tanggungjawab peniaga untuk mematuhi etika perniagaan yang baik.

“Penurunan kos sara hidup hanya akan berjalan (dicapai) kalau diikuti dengan peniaga patuh dan amalkan etika perniagaan yang baik di samping pengguna juga dapat menjadi pengguna yang bijak,” katanya lagi.

Berkuat kuasa tengah malam 5 Jan hingga 11 Januari 2019, harga petrol RON95 diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter.

Harga runcit petrol RON97 pula diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter manakala harga runcit diesel diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.