Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan merokok tak jejaskan pelancong asing

Kedatangan pelancong asing ke negara ini tahun ini dijangka tidak akan terjejas susulan pelaksanaan larangan merokok di restoran berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Rashidi Hasbullah berkata larangan merokok itu tidak akan menjadi masalah kepada 28.1 juta bakal pelancong asing kerana mereka boleh menyesuaikan diri dengan peraturan negara mereka lawati.

Rashidi berkata sedemikian pada sidang media di Majlis Pelepasan Program Ekspedisi Six Nations Ride Indochina Asean Adventure Touring Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, kementerian itu menyasarkan pelancong asing yang melawat Malaysia tahun ini akan menjana pendapatan sebanyak RM92.2 bilion.

Sebanyak lapan buah motosikal berkuasa bawah 200 cc dilepaskan 10.45 pagi tadi memulakan ekspedisi bermula hari ini sehingga 22 Jan merentasi enam buah negara dan kawasan iaitu Thailand, Laos, Boten (sempadan Laos dan China), Myammar, Kemboja termasuk Malaysia.

Ketua ekspedisi, Abi Khalid Abdul Sammad berkata jelajah berkenaan akan turut memperkenalkan Malaysia ke kawasan yang dilawati melalui makanan ikonik negara iaitu nasi lemak dan karipap sejuk beku sepanjang perjalanan nanti.

- Bernama

ADS