Tuntutan harta Jamaludin Jarjis: Ibu fail afidavit batal permohonan balu
Aminah Abdullah, ibu allahyarham Jamaludin Jarjis, hari ini memfailkan afidavit jawapan untuk mengenepikan permohonan balu bekas menteri itu, Kalsom Ismail, bagi membatalkan tuntutan faraid aset anaknya bernilai RM2.1 bilion.
Perkara itu dinyatakan peguam Aminah, Nur Hidayah A Bakar.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan afidavit jawapan itu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Nur Hidayah dan seorang lagi peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menetapkan tarikh 4 Mac untuk Kalsom memfailkan afidavit jawapannya pula bagi membatalkan permohonan Aminah.
Berdasarkan hukum faraid, jika seseorang yang meninggal dunia tidak membuat wasiat, ibunya berhak mendapat satu per enam daripada hartanya manakala isteri satu per lapan.
Bakinya pula akan diberikan kepada anak-anaknya.
Mahkamah juga memutuskan 12 Februari ini untuk sebutan kes bagi tuntutan harta sepencarian yang dibuat Kalsom.
Menurut Kamar, hanya anak-anak Kalsom yang telah memfailkan pembelaan, yang mana mereka menyokong tuntutan ibunya.
Pada 2 Mac lalu, Aminah, 84, selaku pemohon memfailkan permohonan mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Jamaluddin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Beliau mahu mahkamah mengiktiraf bahawa beliau juga salah seorang penuntut yang berhak terhadap harta peninggalan itu, selain Kalsom dan akan-anaknya.
Bagaimanapun, Kalsom dan anak-anaknya memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan faraid oleh Aminah itu.
Dalam petisyennya, Aminah menyenaraikan beberapa hartanah - termasuk rumah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi - sebagai sebahagian daripada harta peninggalan anaknya.
Secara keseluruhan aset Jamaludin merangkumi 22 hartanah - kebanyakannya di Pahang dan Lembah Klang, 21 akaun bank - termasuk satu akaun di Amerika Syarikat - dengan jumlah RM15 juta, dan saham di 15 syarikat.
Aminah berkahwin dengan bapa Jamaludin dan bercerai pada 1954. Beliau membesarkan Jamaludin dan dua lagi anak daripada suaminya yang terkemudian.
Jamaludin merupakan bekas menteri kewangan kedua dan bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat.
Bekas anggota parlimen Rompin itu juga dikatakan sebagai individu kepercayaan bekas perdana menteri Najib Razak.
Jamaludin serta beberapa lain - termasuk setiausaha sulit Najib, Azlin Alias - mati dalam nahas helikopter pada 4 April 2015.

