Rawatan anak otak kembang: Keluarga rayu sumbangan
Sepasang suami isteri dari Kampung Pulau Timbul, Tunjang, di Jitra merayu sumbangan dan bantuan daripada orang ramai bagi membiayai rawatan anak mereka yang mengalami otak kembang yang menyebabkan sistem sarafnya tidak berfungsi sepenuhnya.
Muhammad Iman Mikael Al Hafizi yang berusia 15 bulan kini hanya terlantar dan tidak boleh bercakap selepas ditemui tertonggeng dalam baldi di bilik air kediaman keluarga itu di Ipoh, Perak, November lalu.
Ibunya, Rabiatul Adawiyah Abdullah, 25, berkata kejadian yang berlaku kira-kira 6.45 petang, 27 November tahun lalu itu menyebabkan hidup keluarganya berubah apabila anak keduanya itu yang dahulunya aktif, periang dan petah bercakap kini hanya terbaring di atas tilam.
"Kami rasakan hidup kami terhimpit sangat kerana semua duit simpanan habis digunakan semasa tempoh rawatan di Hospital Tanjung Malim dan Hospital Permaisuri Bainun di Ipoh," katanya kepada pemberita di Jitra, hari ini.
Tambah perit, Rabiatul Adawiyah berkata suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja kontrak di bahagian landskap sebuah universiti awam di Ipoh, Perak diberhentikan kerja, seminggu selepas kejadian yang menimpa anaknya itu.
Menurut Rabiatul Adawiyah, keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah dan menetap di rumah mertuanya di sini sambil meneruskan rawatan susulan anaknya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
"Buat masa ini, suami saya buat kerja sambilan sebagai tukang rumah dengan pendapatan bulanan kira-kira RM500 sebulan, cukup menampung perbelanjaan harian termasuk susu, lampin pakai buang seorang lagi anak yang berusia dua tahun, namun tidak mencukupi untuk berulang-alik ke hospital dan kos rawatan Muhammad Iman Mikael,” katanya.
Sehubungan itu, beliau merayu mana-mana pihak dan orang ramai untuk membantu keluarganya bagi meringankan beban yang ditanggung.
Sumbangan boleh disalurkan terus melalui nombor akaun Maybank 108150069516 di atas nama Rabiatul Adawiyah atau menghubunginya di talian 017-4829855.
Terdahulu, keluarga itu turut dikunjungi Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hassanuddin Samsudin yang menyampaikan sumbangan selain menyatakan komitmen untuk membantu mereka mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Bernama

