Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib dakwa sewa kuarters PPj naik 2 kali ganda

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa kadar sewa kuarters Perbadanan Putrajaya (PPj) di sini naik berganda dari RM400 kepada RM800 sebulan.

“Kalau betul-betul perlu dinaikkan, naikkanlah sedikit demi sedikit. Jangan digandakan serta-merta macam ini sehingga tidak dapat bernafas,” katanya dalam catatan di Facebook, semalam.

Najib dalam catatannya itu berkata penyewa kuarters berkenaan adalah penjawat awam dan pekerja kerajaan dan menurutnya, PPj adalah milik penuh kerajaan dan di bawah kawal selia kerajaan.

Dalam catatan Facebook Najib itu, turut disertakan dua keping gambar notis makluman kadar baharu sewaan kuarters Blok F dan G milik PPj Presint 11.

Dalam notis tersebut, ia menyatakan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj telah menetapkan kadar baharu bagi sewaan kuarters PPj iaitu Blok F (Aras 1 hingga 16) ialah RM800 manakala Blok G Aras bawah dan Aras 1 ialah RM800 manakala Aras 2 (RM700) dan Aras 3 dan 4 (RM600).

Notis itu menyatakan bahawa kadar baharu sewaan akan berkuat kuasa setelah kontrak penyewaan sedia ada tamat dan penyewa masih berminat untuk meneruskan kontrak baharu bagi penyewaan kuarters berkenaan.

PPj yang dihubungi bagi mendapatkan maklum balas menyatakan satu kenyataan berhubung perkara berkenaan akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

- Bernama

ADS