Rusuhan Seafield: Teresa Kok saman Azwanddin
Menteri Industri Utama Teresa Kok telah memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah kerana mengaitkannya dengan rusuhan yang berlaku berhampiran kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada November tahun lepas.
Peguam Kok, Sankara Nair berkata, saman itu difailkan dalam talian pada jam 6 petang hari ini dalam kapasiti peribadi pelanggannya.
Menurut pernyataan tuntutan dalam sebaran akhbar, Azwanddin dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua dalam kapasiti peribadi serta sebagai presiden JMM.
"(Pada) tarikh atau kira-kira 25 Disember 2018, pada perhimpunan yang diadakan di Dataran Seri, Klang, Selangor, defendan pertama dan/ atau defendan kedua membuat dan menerbitkan ucapan..."
"Selepas itu defendan menerbitkan dan/ atau menerbitkan semula dan/ atau menyebabkan penerbitan dan/ atau menyebabkan penerbitan semula ucapan yang dipersoalkan itu di Internet dan media cetak di dalam dan di luar negara," kata kenyataan itu.
Tuntut ganti rugi
Menurut kenyataan itu, Azwanddin telah memfitnah Kok dengan menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan kaitan Kok terhadap rusuhan tersebut.
Selain daripada laporan media, dinyatakan Azwanddin memuat naik hantaran video penuh ucapan berkenaan ke halaman Facebooknya.
Kok menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, disamping memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang penyebaran ucapan tersebut.
Pada 26 Disember tahun lepas, beliau telah memberikan Azwanddin tujuh hari untuk menarik balik tuduhannya dan meminta maaf atau membayar ganti rugi RM30 juta. Kegagalan Azwanddin berbuat demikian akan menyebabkan dia disaman, kata Kok.
Sebelum ini, menteri itu menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial mengaitkannya dengan pemaju yang memiliki tanah diduduki kuil di USJ.
Syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd, telah menafikan mengupah samseng untuk mendapatkan tanah itu yang menyebabkan rusuhan tercetus.
One City Development dimiliki MCT Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Majoriti saham MCT Bhd dimiliki syarikat berpengkalan di Filipina, Ayala Corporation.

