Lelaki hantar 'barangan berbahaya' ke pelbagai konsulat, kedutaan
GLOBAL l Pihak berkuasa Australia telah menahan seorang lelaki yang didakwa menghantar "barangan berbahaya" kepada pelbagai konsulat dan kedutaan di tiga bandaraya di seluruh Australia, lapor agensi berita China Xinhua.
Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Polis Negeri Victoria telah menahan lelaki berusia 48 tahun itu pada Rabu selepas siasatan membawa mereka ke rumah suspek di Shepparton, 190 kilometer di utara Melbourne.
"Dia akan didakwa atas pertuduhan menghantar 38 bungkusan ke pelbagai konsulat serta kedutaan di Melbourne, Canberra dan Sydney, yang mengandungi bahan dipercayai diperoleh dari kediamannya di Shepparton," kata agensi polis terbabit dalam kenyataan bersama pada Khamis sambil menambah bahawa "bantuan Pos Australia penting untuk membuahkan hasil dalam siasatan ini."
Meskipun hanya 29 bungkusan ditemui setakat ini dengan ujian forensik masih dijalankan, polis memberi jaminan kepada orang ramai bahawa mereka telah mengenal pasti penerima yang dimaksudkan dan usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan semula semua bungkusan.
"Tidak terdapat ancaman yang berterusan kepada orang ramai," menurut kenyataan itu.
Meskipun penyiasat tidak mengulas motif berpotensi serangan melalui pos itu atau menyatakan kedutaan serta konsulat yang disasar, pasukan hazmat dan satu kontinjen pekerja kecemasan yang besar telah difoto berada di luar berpuluh-puluh konsulat serta kedutaan di seluruh Melbourne dan Canberra pada Rabu, dan adegan serupa turut berlaku di Sydney pada Isnin.
Tertuduh ditetapkan untuk berdepan pendengaran di mahkamah pada Khamis.
- Bernama

