PRK CAMERON l Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas presiden hari ini mengumumkan calon langsung yang tidak mewakili mana-mana parti komponen BN untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini.

Seperti laporan Malaysiakini, sebelum ini, calon yang diperkenalkan hari ini adalah bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor dari suku kaum Semai.

“Beliau (Ramli) adalah anak tempatan yang mewakili 22 peratus pengundi di sana (Orang Asli).

“Ramli adalah bekas penjawat awam yang mempunyai rekod yang baik sebagai bekas penolong pesuruhjaya polis yang baru sahaja bersara dan mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana,” katanya pada sidang media pengumuman calon BN di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mohamad, BN bukan hanya akan mempertahankan kerusi Cameron Highlands tetapi bertanding untuk menang besar.

"Saya yakin 85 peratus kemenangan adalah milik kita," katanya.

Turut hadir, adalah Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail ; Setiausaha Agung BN,Mohamed Nazri Aziz dan Presiden MIC, Vigneswaran.

Mohamad berkata, Ramli menjadi calon bukan atas keahlian mana-mana parti komponen, sebaliknya calon langsung BN.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi menjaga hati parti komponen terutama MIC yang meminjamkan kerusi tradisi parti itu kepada BN.

Menurutnya, beliau yakin dengan kemenangan BN kali ini selepas pihak pembangkang tewas empat pilihan raya kecil sebelum ini.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada PAS kerana tidak meletak calon atas dasar muafakat pembangkang.

"Ini juga meningkatkan keyakinan kemenangan kepada kita," katanya.

Dengan pengumuman itu, PRK Cameron Highlands dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN dan MyPPP.

Calon PH dari DAP, M Manogaran akan berdepan saingan daripada Ramli dan M Kayveas yang mendakwa dirinya sebagai presiden MyPPP.

Pada PRU-14, Datuk C Sivarraajh dari BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh daripada MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.

Penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.