Peguam N Surendran mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan yang pada masa ini berdiam diri berhubung penggunaan berterusan Akta Hasutan 1948.

Bekas anggota parlimen PKR itu berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan sebelum ini membantah akta itu ketika masih dalam pembangkang.

"Apa yang berlaku kepada semua pemimpin PH dalam kerajaan sekarang, yang membantah Akta Hasutan ketika dalam pembangkang?

"Sikap bersubahat dan membisu mereka sekarang sememangnya memalukan," tulis Surendran di laman sosial Twitter hari ini.

Terdahulu, bekas pengerusi Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan (gambar) turut menulis di Twitter bagi menggesa PH memansuhkan akta itu.

 

"PH oh PH! Hapuskan akta yang tidak masuk akal ini yang dah ada dari zaman gelap (dah berusia 70 tahun!) Berhenti digunakan dengan kuasa diberikan pada kamu! "Katanya.

Kedua-duanya mengulas kritikan Lawyers For Liberty (LFL) mengenai penggunaan Akta Hasutan terhadap individu yang dikatakan menghina bekas Yang di-Pertuan Agong di media sosial baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif LFL Latheefa Koya berkata penahanan itu mengingatkan "sikap tidak bertoleransi kerajaan BN" terhadap kebebasan bersuara, terutama apabila penggunaan akta itu sendiri ditentang PH sebelum menjadi kerajaan.

"Oleh itu adalah mengejutkan bahawa dalam Malaysia Baru, undang-undang ini masih digunakan oleh pihak polis untuk menghapuskan komen-komen di media sosial yang tidak bersifat jenayah," kata Latheefa.