Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melancarkan 10 buah basikal elektrik pertama di negeri ini hari ini sekaligus menjadikannya sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negara ini yang berbuat demikian.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, pelancaran tersebut adalah sejajar dengan visi negeri ini menuju ke arah Pulau Pinang yang lebih pintar, hijau dan sihat dengan memudahkan anggota penguatkuasanya secara mesra alam.

"Ini merupakan satu lonjakan positif dari segi perkhidmatan Unit Rondaan Basikal (URB) di negeri ini di mana anggota MBPP dapat menjalankan tugas rondaan yang meliputi kawasan Tapak Warisan Dunia," katanya selepas majlis pelancaran unit rondaan menggunakan basikal itu di sini.​​​​​​​

Katanya, basikal elektrik buatan tempatan itu dilengkapi bantuan pedal (pedal assist), alat pengesan Sistem Kedudukan Global (GPS), rakaman perjalanan (trip recorder), lampu, hon, sistem suspensi yang baik serta memiliki kelebihan ketika berada di atas permukaan yang rata mahupun berbukit.

"Dengan hasil teknologi yang lebih mesra alam ini, basikal ini juga menepati saranan kelajuan yang diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu 25 kilometer sejam melalui kayuhan bantuan pedal serta 80 ke 100 kilometer sejam melalui kayuhan automatik," katanya.

Menurutnya, basikal tersebut dilengkapi dengan sembilan jenis kelajuan menggunakan transmisi gear yang membolehkan penunggangnya mengubah kelajuan mengikut kesesuaian.

"Kelebihan lain, kita juga dapat memantau anggota ketika melakukan rondaan melalui kemudahan alat pengesan yang ada pada basikal itu.

"Di samping itu, kita hendak menggalakkan anggota untuk menggunakan pengangkutan yang mesra alam selain daripada menggunakan motosikal dan juga kereta ketika melakukan tugas-tugas rasmi bagi mengurangkan masalah pencemaran," katanya lagi.

Yew berkata, penggunaan basikal elektrik ini bukan sahaja digunakan bagi tugasan penguatkuasaan tetapi juga boleh digunakan bagi program lain.

"Ia bukan setakat untuk tugasan penguatkuasaan tetapi turut boleh digunakan untuk program yang lain dari Tapak Warisan Dunia. Kita nak lebih ramai penduduk di Pulau Pinang dan pelancong menggunakan kemudahan yang disediakan oleh MBPP," katanya.

Pengedar sah basikal elektrik tersebut merupakan sebuah syarikat tempatan iaitu Voltron Sdn Bhd yang mempunyai sijil MS2514 dan MS15194 dengan kos bagi sebuah basikal dianggarkan bernilai RM5,400 termasuk aksesori dan alat keselamatan.

-- Bernama