Paling Popular
Terkini

MIC menyarankan DAP supaya tidak sibuk dengan isu-isu dalaman MIC, khususnya berkaitan keputusan parti tersebut tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

MIC meminta dua pemimpin DAP Lim Kit Siang dan P Ramasamy supaya memberi nasihat kepada M Manogaran, calon Pakatan Harapan yang didakwanya menyindir perasaan Orang Asli.

"Kit Siang nasihat kami supaya keluar dari BN selepas, Umno berminat bertanding di Cameron Highlands, manakala Ramasamy pula meminta MIC menjelaskan sebab tarik diri dari kerusi tersebut.

"Kami ingin tegaskan kepada DAP usah sibuk dengan isu-isu dalaman MIC. Jangan sibuk jaga tepi kain orang lain," kata Ketua Penerangan MIC V Gunalan kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Kit Siang mencadangkan MIC keluar BN dengan mendakwa Umno tidak menghormati kedudukan MIC sebagai komponen BN.

Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri Pulau Pinang meminta MIC menjelaskan keputusan parti tersebut tarik diri daripada bertanding di Cameron Highlands.

Cameron Highlands merupakan kerusi tradisi MIC yang dimenangi sejak 2004.

Sementara itu, Gunalan bagaimanapun berkata mereka hanya meminjamkan kerusi itu kepada Umno.

“Kami hanya meminjamkan kerusi tersebut.”

"Ia tidak bermaksud MIC tidak akan bertanding di Cameron Highlands pada masa akan datang," katanya lagi.

Pada PRU-14, Datuk C Sivarraajh dari BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh daripada MIC terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.

Penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini. Dijangka PRK Cameron Highlands dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), BN dan MyPPP.

Lihat Komen
ADS