Meskipun pada mesyuarat agung tahunannya bulan lalu menggesa agar BN dibubarkan, MCA tetap turun padang untuk memberikan sokongan kepada calon BN, Ramli Mohd Nor dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Beberapa pemimpin MCA dilihat hadir ketika penamaan calon yang berlangsung pagi ini.

Antara pemimpin MCA yang dilihat pagi tadi ialah Naib Presiden Ti Lian Ker dan Tan Teik Cheng, Setiausaha Agung Chew Mei Fun, Ketua Wanita Heng Seai Kie, dan Ketua Pemuda Nicole Wong.

Difahamkan, Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon turut hadir di Cameron Highlands bagi memantau persiapan PRK.

Menurut Ketua Pemuda MCA Lee Teng Wei, Mah dan Chew sudah berada di Cameron Highlands sejak beberapa hari lalu, sementara Presiden MCA Wee Ka Siong akan tiba esok.

Sementara itu, Tan memaklumkan bahawa MCA akan memberikan kerjasama penuh kepada BN dalam persiapan PRK bagi menentang PH, baik sebagai parti komponen BN mahu pun sebagai parti pembangkang.

Menurut Ti pula, MCA mahu menjadikan PRK tersebut sebagai PRK yang mengetengahkan isu setempat dan semasa.

“Kita memberi tumpuan terhadap kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan janjinya dan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“MCA juga akan mendedahkan kelemahan pemerintahan kerajaan sekarang (kepada penduduk),” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Brinchang malam tadi.

Ketika ditanya tentang hubungan MCA dan Umno, Ti yang juga merupakan penyelaras persediaan PRK itu bagi pihak MCA, enggan mengulas lanjut.

“Hal-ehwal dalaman MCA tidak ada kena mengena dengan Umno,” katanya.

Langkah berani dan tepat

Mengulas tentang keputusan BN yang mempertaruhkan calon Orang Asli di PRK itu, Ti berkata pemilihan Ramli tidak mengikut tradisi lama namun ia mendapat persetujuan parti komponen.

“Ini bagus untuk negara kita. Semangat muafakat BN telah kembali. Ini menandakan yang BN telah berubah daripada amalan memilih calon hanya berdasarkan faktor kaum semata-mata.

“Sebaliknya (kali ini) mempertaruhkan calon daripada kaum minoriti,” katanya lagi.

Tambah Ti, dengan meletakkan calon Orang Asli, ia mampu mengubah budaya politik Malaysia yang terlalu berasaskan kaum, sekaligus menggalakkan rakyat untuk tidak memandang segala perkara dari kaca mata perkauman semata-mata.

“Inilah semangat BN, bertoleransi dan inklusif.

“MCA menyokong penuh calon daripada Orang Asli. Biarpun anda dari kaum minoriti, kami sanggup untuk bergerak ke depan, melangkau politik perkauman,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Wong pula meyifatkan pemilihan Ramli sebagai calon, sebagai satu langkah berani dan tepat.

“Ia langkah berani, kerana tidak mengikut tradisi memilih calon daripada kaum yang sama (dengan calon sebelum ini). Ia tepat, kerana kita mesti menembusi batas kaum untuk masa depan politik negara kita.

“Tidak patut seseorang calon itu dipilih kerana beliau datang daripada kaum yang paling ramai di sesuatu kawasan,” katanya.

Menurut Wong lagi, pertimbangan berasaskan kaum tidak harus mengatasi imej dan kemampuan seseorang calon itu.

“Ini harus menjadi hala tuju masa depan politik Malaysia,” katanya lagi.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat penjuru, dan akan berlangsung pada 26 Jan.

Selain Ramli, calon-calon lain terdiri daripada calon PH, M Manogaran, serta dua orang calon bebas, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.

Komposisi kaum di Cameron Highlands terdiri daripada 33.7 peratus orang Melayu, 29.5 peratus Cina, 14.9 peratus India, 21.9 peratus Orang Asli dan lain-lain.

Untuk BN, kerusi parlimen itu secara tradisinya ditandingi oleh calon MIC, tetapi parti itu mengambil keputusan untuk tidak mempertaruhkan calon dan menyerahkan penentuan calon kepada kepimpinan BN, yang sepakat memilih Ramli.

[Baca berita asal]